PETALING JAYA: Negeri Sembilan FC (NSFC) enggan menyalahkan penyerang importnya, Joseph Esso selepas kegagalan menyempurnakan sepakan penalti yang menyaksikan pasukan itu sekadar seri 0-0 menentang Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, kelmarin.
Ketua jurulatih interim, K Rajan mengakui tekanan mungkin menjadi faktor sehingga Esso gagal menyempurnakan peluang keemasan pada minit ke-65 apabila bola sepakannya melepasi palang.
“Sebagai pemain penyerang sudah tentu harapan tinggi diletakkan kepadanya untuk membawa pasukan mencipta kemenangan, apa lagi selepas usaha dan kerja keras yang dilakukannya sebelum itu tidak berjaya diterjemahkan dengan jaringan.
“Situasi itu memungkinkan Esso berada sedikit tertekan ketika mengambil sepakan penalti berkenaan dan menyebabkan bola tersasar.
“Namun dari segi keseluruhan persembahan dipamerkan Esso dan juga pemain yang diturunkan malam ini (kelmarin), saya puas hati kerana kita masih dapat mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan terakhir sejak Februari lalu,” kata Rajan.
Sepakan penalti tersebut diperolehi selepas A.Selvan dijatuhkan oleh pertahanan Melaka dalam kotak penalti.
Rajan turut memuji disiplin serta pendekatan agresif yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan sehingga berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya, termasuk percubaan daripada Takumi Sasaki dan pemain gantian Mio Tsuneyasu.
Beliau yakin momentum positif itu mampu diteruskan menjelang dua aksi terakhir liga menentang Kuala Lumpur City pada 10 Mei dan Kelantan The Real Warriors FC pada 15 Mei ini.
“Saya yakin kita akan dapat kekalkan momentum baik ini dalam dua perlawanan terakhir liga musim ini dan saya berharap Negeri Sembilan dalam mengutip mata penuh pada kedua-dua perlawanan itu nanti,” ujarnya.-UTUSAN










