JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz bertekad melunaskan misi balas dendam apabila berdepan Buriram United dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Munoz mengakui kekalahan 1-2 skuad Harimau Selatan kepada kelab Thailand itu dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), September lalu masih terasa dan hanya kemenangan mampu membalasnya.
Munoz berkata, skuad Harimau Selatan tidak gentar berdepan juara Liga Thailand itu setelah pasukan bimbingannya berkembang jauh sejak kekalahan tersebut.
“Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu, kita tewas 1-2, ketika itu JDT masih dalam proses transisi yang melibatkan ramai pemain baharu serta barisan kejurulatihan yang belum serasi sepenuhnya.
“Sekarang situasinya berbeza, kami sudah bekerja bersama selama sembilan bulan dan setiap individu faham apa yang perlu dilakukan. Kami sudah bersedia untuk mempamerkan kemampuan sebenar dalam perlawanan berprestij seperti ini.
“Yang pasti, penting buat JDT memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri bagi meraih kemenangan sebagai bekalan selesa untuk aksi timbal balik kelak,” ujarnya.
Bekas pengendali Watford itu turut berkata, walaupun berdepan jadual perlawanan padat, pemain masih kekal bersemangat memburu kemenangan apabila pasukan itu semakin hampir menambah koleksi trofi.
“JDT sudah menempuh musim yang panjang setelah bermain lebih 50 perlawanan setakat ini, ia memberi kesan kepada mental dan fizikal pemain. Bagaimanapun, kesungguhan pemain memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan wajar diberi pujian.
“Perjuangan harus diteruskan, tambahan pula perlawanan menentang Buriram ini cukup penting, JDT perlu lebih bersiap sedia dan memastikan kemenangan berada dalam genggaman. Justeru, kita berharap penyokong JDT memenuhi stadium,” katanya.-UTUSAN










