Messi ketuai Argentina ke Piala Dunia

Messi ketuai Argentina ke Piala Dunia

Lionel Messi masih diperlukan untuk mengemudi skuad Argentina ke Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Teka-teki masa depan Lionel Messi di pentas Piala Dunia akhirnya terjawab apabila pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengesahkan pemain legenda itu akan mengetuai cabaran juara bertahan berkenaan pada edisi 2026 di Amerika Utara.

Pada usia 38 tahun, Messi bakal mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, sekali gus menambah lagi koleksi rekod luar biasa dimilikinya.

Pengumuman skuad 26 pemain Argentina itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai tahap kecergasan bintang Inter Miami berkenaan yang sebelum ini dibelenggu isu kecederaan otot kiri kiri.

Messi menjadi perhatian selepas dikeluarkan ketika Inter Miami membelasah Philadelphia 6-4 dalam aksi MLS Ahad lalu, namun Scaloni menegaskan, kecederaan itu tidak serius dan kaptennya berada di landasan tepat untuk mengetuai La Albiceleste mempertahankan kejuaraan dunia.

“Messi berada dalam keadaan baik dan kami yakin dia akan bersedia sepenuhnya menjelang kejohanan,” kata Scaloni.

Dalam masa sama, Scaloni membuat keputusan berani apabila mengetepikan sensasi muda Real Madrid, Franco Mastantuono daripada senarai akhir skuad.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini disebut-sebut sebagai permata baharu bola sepak Argentina, namun pengalaman jelas menjadi pertaruhan utama Scaloni bagi menghadapi cabaran getir mempertahankan gelaran dunia.

Argentina dijadual membuka kempen Kumpulan C menentang Algeria di Kansas City pada 16 Jun sebelum berdepan Austria dan Jordan.

Sebelum itu, skuad juara dunia berkenaan akan mengharungi dua aksi pemanas badan bertemu Honduras pada 6 Jun dan Iceland tiga hari kemudian.

Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada bakal menjadi edisi terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 pasukan dan dijangka membuka tirai pada 11 Jun ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN