Masalah disiplin ‘makan diri’

Masalah disiplin ‘makan diri’

Penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez menangkap kemas bola selepas diasak jentera serangan Sunderland dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium of Light, Ahad lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sikap kurang berdisiplin terus menghantui Chelsea apabila pengurus sementara, Calum McFarlane mengakui masalah itu menjadi faktor utama pasukannya gagal menempah slot ke pentas Eropah musim depan.

Harapan The Blues untuk sekurang-kurangnya beraksi di Liga Konferens musnah selepas tewas 1-2 kepada Sunderland dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menutup musim dengan kekecewaan besar.

Lebih memeritkan, Chelsea sekali lagi ‘membunuh diri’ apabila terpaksa mengharungi baki perlawanan dengan 10 pemain selepas Wesley Fofana diarah keluar padang pada minit ke-61 susulan kad kuning kedua.

Insiden itu melengkapkan rekod lapan kad merah Chelsea dalam saingan liga musim ini dengan statistik yang jelas menggambarkan masalah disiplin serius dalam kem The Blues.

“Ini memang isu besar. Setakat yang saya tahu, kami mungkin pasukan paling banyak menerima kad merah musim ini.

“Kalau lihat pasukan juara seperti Arsenal, mereka hampir tidak berdepan situasi seperti ini. Jadi perkara sebegini jelas merencatkan pasukan dan perlu diperbaiki segera,” kata McFarlane.

Chelsea sebenarnya memulakan aksi terakhir liga di tangga kelapan, kedudukan yang cukup untuk membuka laluan ke Eropah, namun kekalahan menyaksikan mereka dipintas dan tercicir dengan beza satu mata.

Musim mengecewakan kelab London itu turut diburukkan lagi dengan kekalahan di final Piala FA kepada Manchester City, menjadikan kempen kali ini antara yang paling suram buat penyokong mereka.

McFarlane menamatkan tugas selaku pengurus sementara selepas mengendalikan enam perlawanan terakhir susulan pemecatan Liam Rosenior.

Bermula 1 Julai depan, Chelsea bakal membuka lembaran baharu bawah kendalian Xabi Alonso dengan harapan mampu mengembalikan semula maruah pasukan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN