Letshanaa sasar kekal kelompok 32 terbaik dunia

Letshanaa sasar kekal di kelompok 32 terbaik dunia

K. Letshanaa gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada Hina Akechi pada suku akhir Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mengekalkan kedudukan dalam kelompok 32 terbaik dunia menjadi sasaran utama pemain perseorangan wanita No. 1 negara, K. Letshanaa.

Letshanaa berkata, dia perlu terus beraksi baik dalam setiap kejohanan kerana selepas ini, pertandingan yang bakal disertai memiliki status yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

“Perkara utama bagi saya adalah untuk kekal dalam kelompok 32 terbaik. Sebab untuk kekal dalam 32 terbaik bukannya perkara mudah kerana anda kena terus beraksi dengan baik dalam setiap kejohanan. Jadi, itu adalah salah satu sasaran utama saya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pemain yang menghuni ranking ke-32 dunia itu terkandas pada suku akhir Malaysia Masters 2026, selepas tewas dalam permainan tiga set kepada wakil Jepun yang berada di ranking No. 24 dunia, Hina Akechi 21-19, 12-21, 10-21 dalam masa 57 minit.

Menurut Letshanaa, selepas ini, dia akan dapat banyak peluang bermain dalam kejohanan Super 750 dan 1000, justeru, untuk dirinya sendiri pengalaman itu amat penting untuk pendedahannya.

Jelas pemain berusia 22 tahun itu, setakat ini, Super 500 masih menjadi kejohanan tertinggi pernah disertainya dan dia berasa agak teruja kerana ia bakal menjadi cabaran besar untuknya bertemu pemain-pemain terbaik dunia.

“Semua cabaran ini akan saya ambil langkah demi langkah dan jurulatih tidak pula meletakkan sebarang sasaran khusus untuk dicapai dalam tempoh yang terlalu singkat.

“Apa yang penting mereka mahu saya belajar daripada setiap kejohanan dan ambil pendedahan itu, kemudian terus maju ke hadapan,” ujarnya.

Mengulas mengenai Terbuka Singapura yang akan disertainya, minggu depan, Letshanaa berkata, apa yang boleh dikatakan adalah ia bakal menjadi satu lagi pengalaman baik, lebih-lebih lagi bintang No. 4 dunia, Chen Yu Fei menjadi pencabarnya di pusingan awal.

“Saya akan terus belajar dan saya percaya satu hari nanti, saya boleh buat satu lagi kejutan besar. Seperti perlawanan hari ini, saya perlu belajar daripada kesilapan dan penting kekalkan momentum serta aksi konsisten,” tegasnya.-UTUSAN

ends.

KAPSYEN: K. Letshahaa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN