ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz enggan ‘pisang berbuah dua kali’ apabila berdepan dengan Buriram United dalam aksi separuh akhir pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Munoz juga bertekad memastikan gawang JDT tidak akan dibolosi sekali gus menutup ruang buat Thunder Castle membawa pulang kelebihan pada aksi timbal balik kelak.
Katanya, skuad Harimau Selatan sudah bersiap sedia mempamerkan aksi bertenaga dengan permainan berintensiti tinggi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
“Tidak dinafikan pertembungan esok merupakan pertemuan epik antara kedua-dua pasukan terbaik Asia Tenggara yang turut bersaing di kejohanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE).
“Setiap kali beraksi di gelanggang sendiri di hadapan ribuan penyokong, kita akan beri persembahan terbaik dan agresif seawal minit pert.ama permainan. Perlawanan ini amat penting buat JDT, jadi kami tidak boleh tersilap langkah,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan, di sini hari ini
Kali terakhir JDT berdepan Buriram United, skuad Harimau Selatan tewas 1-2 dalam perlawanan peringkat kumpulan ACLE, September lalu.
Mengulas mengenai ancaman pasukan lawan, Munoz mengakui Buriram United mempunyai kelebihan tersendiri terutama dalam melakukan serangan balas pantas walaupun mereka tidak mendominasi pegangan bola.
Beliau turut memberi pihaknya memberikan perhatian khusus kepada pemain berbakat lawan, Suphanat Mueanta yang disifatkan mampu memberi ancaman mengejut jika barisan pertahanannya hilang fokus.
“Paling penting adalah mengekalkan clean sheet (rekod tanpa bolos). Kita tahu lawan mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol dalam situasi yang tidak dijangka,” katanya.
Dalam pada itu, pemain pertahanan JDT, Matthew Davies berkata, rekod pertemuan terdahulu tidak seharusnya menjadi ukuran apabila prestasi semasa pasukan adalah berbeza dengan ketika pertemuan terdahulu antara mereka.
“Walaupun Buriram mempunyai keupayaan tersendiri mengangkat bola sepak Asia Tenggara, status itu tidak membuatkan kami goyah. Rekod turut menunjukkan kami mampu menewaskan pasukan ternama di laman sendiri.
“Yang penting, kami sebagai satu unit perlu bermain dengan berkeyakinan tinggi, pastinya setiap pemain mendambakan untuk menjulang trofi ACC ini,” katanya.-UTUSAN










