PETALING JAYA: Beregu campuran baharu negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin memberi amaran awal mereka bukan sekadar pasangan pelengkap jadual apabila mencipta kejutan menyingkirkan beregu No. 1 dunia, Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping pada pusingan pertama Terbuka Singapura 2026 di Kallang, semalam.
Turun tanpa sebarang ranking dunia dan hanya beraksi dalam kejohanan kedua sebagai pasangan, Jimmy-Su Yin langsung tidak gentar sebelum mengejutkan pilihan utama dari China itu 23-21, 21-16 dalam masa 43 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Kemenangan sensasi itu hadir hanya seminggu selepas mereka terkandas awal pada Malaysia Masters 2026 sekali gus membuktikan pasangan muda negara itu mula menemui rentak sebenar di pentas antarabangsa.
Lebih menarik, Su Yin mendedahkan mereka sebenarnya turun dengan satu misi mudah iaitu memaksa pasangan No. 1 dunia tersebut bermain dalam situasi penuh tekanan menerusi corak permainan sabar dan agresif.
“Kami tahu mereka pasangan No. 1 dunia dan bola memang susah nak mati, jadi saya cakap dengan Jimmy kami kena lagi sabar dekat depan atau belakang gelanggang.
“Kena sabar dan pada masa sama kena agresif sebab kalau terlalu tergesa-gesa memang susah nak lawan mereka,” kata Su Yin
Bekas pasangan Hoo Pang Ron itu turut memilih untuk tidak berkongsi terlalu banyak pengalaman silamnya menentang beregu China berkenaan kerana tidak mahu meletakkan tekanan tambahan ke atas Jimmy.
“Saya tak mahu terlalu banyak kongsi sebab takut nanti lagi banyak cakap dia lagi tertekan, jadi saya cuma pesan main saja permainan sendiri dan keluarkan apa yang kami selalu buat dalam latihan,” katanya.
Jimmy pula mengakui kekalahan pada kejohanan sulung mereka di Kuala Lumpur minggu lalu sedikit sebanyak memberi tamparan awal buat pasangan itu sebelum bangkit memperkemaskan semula permainan di Singapura.
“Kami cuba lupakan apa yang berlaku minggu lalu sebab kejohanan itu memang kami tak bermain baik dan kali ini kami cuba cari balik rentak latihan kami.
“Mujur kali ini semuanya menjadi dan memang saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Jimmy-Su Yin mara ke pusingan kedua untuk bertemu sama ada pasangan India, Rohan Kapoor-G. Ruthvika Shivani atau wakil Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang. – UTUSAN










