Inter Milan muncul juara Serie A

Inter Milan muncul juara Serie A

PEMAIN Inter Milan meraikan kejayaan mereka menjuarai Serie A semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Inter Milan menoktahkan kejuaraan Serie A musim ini selepas menewaskan Parma 2-0 dalam aksi di San Siro, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Inter mengesahkan kejuaraan liga Itali ke-21 mereka dengan baki tiga perlawanan, apabila mereka kini selesa mendahului dengan kelebihan 12 mata ke atas Napoli selaku juara bertahan, manakala AC Milan di tempat ketiga ketinggalan 15 mata.

Gol pembukaan Inter hadir menerusi Marcus Thuram pada penghujung babak pertama sebelum Henrikh Mkhitaryan menggandakan kedudukan pada separuh masa kedua untuk memastikan kejuaraan menjadi milik skuad The Nerazzurri.

Stadium San Siro dipenuhi lautan penyokong berwarna biru dan hitam, manakala ribuan penyokong turut berhimpun di hadapan Katedral Duomo bagi meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka.

Kapten pasukan, Lautaro Martinez menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerja keras seluruh pasukan yang berjaya bangkit selepas musim lalu yang mengecewakan.

“Semua orang gembira hari ini (semalam), namun kita tidak boleh melupakan kerja keras yang telah dilakukan. Ia amat sukar untuk bermula semula selepas musim lalu apabila kami gagal dalam semua pertandingan,” katanya.

Inter kini berpeluang melengkapkan kejuaraan berganda liga dan piala sekiranya berjaya menewaskan Lazio dalam perlawanan akhir Coppa Italia di Rom pada 13 Mei ini.

Sementara itu, AC Milan terus bergelut apabila tewas 2-0 kepada Sassuolo, sekali gus menyukarkan lagi peluang mereka untuk menamatkan musim di kelompok Liga Juara-Juara.

Juventus pula sekadar seri 1-1 menentang Verona yang telah tersingkir, namun masih kekal dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Dalam aksi tersebut, Juventus terlebih dahulu ketinggalan sebelum Dusan Vlahovic menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-61.

Di Reggio Emilia, AC Milan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Fikayo Tomori dilayangkan kad merah pada minit ke-24, sebelum Sassuolo menambah jaringan untuk memastikan kemenangan.

Pengurus AC Milan, Massimiliano Allegri, mengakui kekecewaan penyokong terhadap prestasi pasukan, namun menegaskan masih ada peluang untuk memburu tempat ke Liga Juara-Juara dengan baki perlawanan yang ada. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN