Hakim Danish buru mata penting di Le Mans

Hakim Danish buru mata penting di Le Mans

Hakim Danish kini berada di kedudukan ke-15 keseluruhan bagi kelas Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia. - Gambar Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad untuk meneruskan aksi konsistennya mengutip mata dalam setiap perlumbaan dan berharap keputusan lebih baik mampu dicatatnya pada Grand Prix (GP) Perancis, hujung minggu ini.

Pelumba AEON Credit MT-Helmets-MSI itu yang kini menghuni tangga ke-15 keseluruhan dengan 12 mata, memasang sasaran lebih tinggi selepas berjaya mengutip tiga mata berharga pada GP Sepanyol di Jerez, dua minggu lalu.

Hakim Danish berkata, Le Mans bukanlah litar yang asing baginya kerana pernah berlumba di sana beberapa kali sewaktu bersaing dalam perlumbaan peringkat remaja.

“Le Mans antara litar yang saya gemari. Saya mempunyai pengalaman beraksi di sini pada saingan Piala Red Bull MotoGP Rookies tahun lalu, namun, kali ini cabarannya berbeza dalam Kejuaraan Dunia Moto3,” katanya dalam satu kenyataan kepada media Malaysia di sini, semalam.

Anak muda berusia 18 tahun itu berharap dia dapat mengekalkan momentum positif menjelang saingan pusingan kelima tersebut dan menyasarkan keputusan yang lebih baik berbanding di Jerez

“Saya perlu bermula garang sejak sesi latihan bebas pertama (FP1), cepat menyesuaikan diri dengan litar serta corak tunggangan dan kekal fokus sepanjang perlumbaan,” ujarnya.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin pula berkata, Le Mans sentiasa menjadi litar yang mencabar, terutamanya dengan keadaan cuaca yang sukar dijangka serta karakter teknikal trek tersebut.

Jelas bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu, pihaknya memberi fokus untuk meneruskan perkembangan positif Hakim Danish seperti yang ditunjukkan pada pusingan lalu di Jerez.

“Dari sudut pasukan pula akan memastikan jentera berada pada tahap terbaik serta membantu Danish menyesuaikan diri seawal mungkin sejak sesi pertama. Dalam Moto3, perbezaan prestasi sangat kecil, jadi setiap aspek perlu diperhalusi dengan teliti.

“Saya juga akan berada di Le Mans bersama Danish pada minggu ini bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar dan memberikan sokongan penuh kepadanya dan pasukan.

Kami percaya dengan pengalaman yang dimilikinya di litar ini serta momentum semasa, Danish mampu memberikan saingan yang lebih kompetitif dan berpeluang meraih keputusan yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN