Gol, trofi, MVP lengkap kepulangan Arif Aiman

Gol, trofi, MVP lengkap kepulangan Arif Aiman

Arif Aiman Hanapi meraikan jaringan gol kedua Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Kuching City FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepulangan bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi cukup sempurna apabila pemain sayap kebangsaan itu bukan sahaja kembali meledak gol, malah dinobatkan sebagai pemain terbaik final (MVP) untuk membantu Harimau Selatan menjulang Piala Malaysia kali keempat berturut-turut.

Lebih bermakna, malam gemilang di TM Stadium Nasional itu hadir hanya beberapa hari sebelum Arif Aiman melangkah ke fasa baharu kehidupannya apabila dijadual melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihan, hari ini.

Selepas enam bulan tersisih akibat kecederaan otot paha, pemilik gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia empat kali berturut-turut itu membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menjaringkan gol kedua JDT dalam kemenangan 2-0 ke atas Kuching City pada aksi final, kelmarin.

Masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-64, Arif Aiman hanya memerlukan 26 minit untuk mencipta impak besar apabila meledak jaringan yang melengkapkan kemenangan Harimau Selatan, sekali gus menghadiahkan trofi berprestij itu buat skuad kendalian Xisco Munoz.

Di sebalik senyuman meraikan kejayaan, Arif Aiman mengakui tempoh pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika bersama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 pada November lalu bukan sesuatu yang mudah untuk diharungi.

“Enam bulan lalu memang saya sangat bergelut untuk kembali beraksi. Setiap hari (dalam) gym memang bosan, tapi saya kena hadap benda itu sebab ini adalah kecederaan pertama dalam karier sebagai pemain bola sepak.

“Saya ambil perkara itu sebagai motivasi. Selepas cedera, saya rehatkan diri, elak sebarang tekanan, ambil masa dan hanya fikir satu hari nanti saya akan kembali semula seperti hari ini.

“Alhamdulillah, ini hadiah paling bermakna selepas enam bulan saya tidak beraksi dan minggu depan saya akan memulakan fasa baru dalam kehidupan saya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Arif Aiman turut mengakui pernah dihimpit kebimbangan bahawa kecederaan panjang mungkin menamatkan dominasinya sebagai MVP Liga Malaysia musim ini.

“Selepas saya mengalami kecederaan, saya terfikir mungkin tahun ini saya tidak akan menang lagi (gelaran MVP) sebab saya tak beraksi selama enam bulan. Jadi, mungkin saya tidak dapat kekalkan, mungkin musim depan saya dapat semula,” ujarnya.

Terdahulu, khabar mengenai majlis perkahwinan Arif Aiman mula menjadi perhatian penyokong selepas kad jemputan perkahwinan pemain berusia 24 tahun itu tular di media sosial sejak kelmarin, menjadikan kejayaan di Bukit Jalil sebagai hadiah paling manis sebelum bergelar suami. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN