KUALA LUMPUR: Umurnya baharu mencecah 15 tahun, namun, Jinoreeka Ning Manivannan membuktikan dia mampu menumbangkan pencabar lebih berusia apabila mengesahkan slot separuh akhir Wanita Bawah-19 Tahun pada Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa SRAFTKL di Kompleks Skuasy Jalan Duta di sini, semalam.
Diletakkan sebagai pilihan kedua, anak jati Ipoh, Perak itu tidak berdepan masalah mengetepikan pencabarnya yang berusia 17 tahun, Puteri Rania Zahirah Mior Ahmad Nazril 11-8, 11-2, 11-3 pada suku akhir.
Pada separuh akhir, hari ini, Jinoreeka yang merupakan penyandang gelaran kategori Perempuan B-17 Tahun, edisi lalu, akan menghitung pertemuan dengan seorang lagi rakan seperjuangan, Arissa Faria Syed Kebir.
Arissa, 18, menewaskan Mehwish Ali dari Pakistan 11-8, 11-4, 2-11, 11-6 dalam satu lagi suku akhir.
Jinoreeka ketika ditemui berkata, dia menaik taraf kategori yang disertainya selepas menerima nasihat daripada bapanya yang mahu melihat dia bertemu lawan yang lebih mencabar.
“Lagi pun tahun lepas saya sudah menang untuk kategori B-17, jadi, ayah cadangkan saya bertanding sahaja untuk kategori yang lebih tinggi, walaupun umur saya 15 tahun,” katanya.
Dengan beraksi di dalam kategori tersebut, kata Jinoreeka, dia berpotensi untuk bertemu seniornya yang juga merupakan pemain kebangsaan, Whitney Isabelle Wilson jika berjaya mara ke perlawanan akhir.
“Dia seorang pemain yang sangat bagus, berpengalaman dan memiliki kepantasan. Saya belum pernah bertemu Whitney, jadi, saya menjanjikan hanya yang terbaik jika bertemu dengannya nanti,” kata Jinoreeka.
Whitney yang merupakan pilihan pertama mengalahkan rakan senegara, M. Thivyashini 11-5, 11-2, 11-8 dan bakal berdepan seorang lagi wakil Malaysia, T. Dakshayani di separuh akhir selepas pemain itu menumbangkan wakil Singapura, Ranjan Salesha 11-9, 11-2, 11-6.
Sementara itu, dalam saingan Lelaki B-19 Tahun, pilihan pertama, Mirza Naim Khairil FA Aqil membenam rakan senegara, Jedidiah Kwan Ming Zhe 11-9, 11-8, 11-6 dan sekali gus, menyaksikannya bakal bertemu Lee Jong Hyeok dari Korea Selatan di separuh akhir.
Seorang lagi pemain negara, Aqhar Sallam A. S. Altamis menewaskan rakan senegara, Tay Jun Ren 11-4, 8-11, 14-12, 11-8 dan di separuh akhir, seorang lagi teman seperjuangan, Ivan Chan menantinya selepas menumpaskan Matvei Yachmenkov dari Rusia 11-7, 11-5, 11-2.-UTUSAN










