NEW YORK: Harga tiket perlawanan akhir Piala Dunia menjadi perbualan hangat apabila empat keping tiket dilaporkan dijual dalam pasaran jual semula pada harga mencecah AS$2.3 juta (RM9 juta) setiap satu.
Tiket bagi aksi final yang dijadual berlangsung pada 19 Julai di Stadium MetLife, East Rutherford, Amerika Syarikat itu terletak di bahagian belakang gol di aras bawah, blok 124.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan bahawa badan itu tidak mengawal harga di pasaran jual semula atau pertukaran tiket, sebaliknya harga ditentukan oleh penjual.
Bagaimanapun, FIFA mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 15 peratus kepada pembeli dan 15 peratus lagi kepada penjual bagi setiap transaksi yang dilakukan di platform tersebut.
“FIFA telah mewujudkan model jualan tiket dan pasaran sekunder yang mencerminkan amalan standard pasaran tiket untuk acara sukan dan hiburan utama di negara tuan rumah.
“Yuran fasiliti jual semula yang dikenakan adalah selaras dengan standard industri merentas sektor sukan dan hiburan di Amerika Utara.
“Pendekatan harga berubah-ubah FIFA sejajar dengan trend industri dalam pelbagai sektor sukan dan hiburan, di mana pelarasan harga dibuat untuk mengoptimumkan jualan dan kehadiran serta memastikan nilai pasaran yang adil bagi acara tersebut,” kata FIFA.
FIFA turut menegaskan bahawa hasil yang dijana daripada kejohanan Piala Dunia akan dilaburkan semula ke dalam 211 persatuan ahli di seluruh dunia bagi pembangunan sukan bola sepak. – AGENSI










