Tang Jie-Ee Wei, dua lagi beregu campuran ke pusingan kedua Kejohanan Asia

Tang Jie-Ee Wei, dua lagi beregu campuran ke pusingan kedua Kejohanan Asia

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuka kempen Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, hari ini dengan langkah positif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan kempen mereka dengan langkah kanan setelah melepasi halangan peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang merupakan gandingan No. 4 dunia menewaskan pasangan ke-138 dunia, Haruki Kawabe-Kokona Ishikawa dari Jepun 21-10, 21-19 dalam masa 36 minit.

Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini, Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan sama ada gandingan Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsaard atau Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dari India.

Penyertaan Tang Jie-Ee Wei pada edisi kali ini merupakan peluang terbaik mereka memburu gelaran pertama di pentas Asia dan sekali gus, menamatkan penantian selama 16 tahun selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying merangkul gelaran pada 2010.

Tang Jie-Ee Wei merupakan penyandang juara dunia dan jika mereka berjaya menjulang gelaran pada Kejohanan Asia, ia bakal melengkapkan koleksi trofi mereka pada kejohanan di peringkat benua.

Turut mara ke pusingan kedua, beregu No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang mengetepikan gandingan ke-39 dunia, Rohan Kapoor-Ruthvika Shivani Gadde dari India 21-13, 21-19 dalam masa 34 minit.

Pasangan suami isteri itu bakal menghitung pertemuan sama ada beregu Bangladesh, Jumar Al-Amin-Urmi Akter atau Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui dari Taiwan.

Gandingan No. 34 dunia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien pula menyingkirkan Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh dari India 21-16, 21-15 dalam masa 31 minit.

Laluan lebih sukar menanti beregu profesional Malaysia itu apabila dijadual bertemu wakil tuan rumah yang berada di ranking No. 7 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN