PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) negara, Shukor Adan, bakal berguru dengan Datuk Ong Kim Swee sebagai sebahagian daripada usahanya mempersiapkan pasukan menjelang kelayakan Piala Asia B-17 2027, November ini.
Skuad kendalian Shukor muncul naib juara Kejuaraan ASEAN B-17 selepas tewas 0-3 kepada Vietnam dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.
Kekalahan itu sekali gus memberi pengajaran berharga buat barisan pemain muda negara yang kini perlu segera bangkit dan memperbaiki kelemahan menjelang kelayakan Piala Asia B-17.
Shukor berkata, dia akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan termasuk Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Kim Swee bagi merangka pelan terbaik dalam tempoh lima bulan yang ada.
“Apa yang saya lihat kita perlukan banyak aksi persahabatan antarabangsa supaya pemain boleh mengadaptasi perlawanan di tahap tertinggi. Kelayakan AFC adalah berbeza dengan Kejuaraan ASEAN.
“Kita akan lihat undian kumpulan, di situ kita akan buat persediaan kem latihan dan aksi persahabatan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kekalahan kepada Vietnam, Shukor menegaskan barisan kejurulatihan akan melakukan analisis menyeluruh bagi memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti.
“Selepas tewas dua kali dengan Vietnam, barisan kejurulatihan akan buat analisa secara individu dan berpasukan, buat laporan. Lepas itu kami baiki apa kekurangan yang perlu dilakukan.
“Terutamanya daripada segi fizikal dan kekuatan pemain. Kita masih ada baki lima bulan sebelum bermulanya kelayakan Piala Asia. Saya rasa walaupun masa yang ada agak pendek tapi kita buat yang terbaik untuk skuad B-16 bersedia dalam kejohanan kelayakan,” katanya. – UTUSAN










