Lima, PERU: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 47 lagi cedera dalam satu insiden yang berlaku di Stadium Alejandro Villanueva di ibu negara Peru, semalam.
Kejadian itu berlaku ketika satu perhimpunan diadakan menjelang perlawanan derbi bola sepak tempatan.
Menteri Kesihatan Peru, Juan Carlos Velasco berkata, insiden berkenaan mengakibatkan puluhan mangsa cedera dengan sebahagian daripada mereka berada dalam keadaan serius.
“Sebanyak 47 orang cedera dan dukacita dimaklumkan terdapat satu kematian. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya kepada media.
Menurutnya, seramai 39 mangsa telah dihantar ke beberapa hospital di sekitar wilayah Lima untuk menerima rawatan lanjut, termasuk tiga yang dilaporkan kritikal.
Pada peringkat awal, insiden itu dikaitkan dengan kemungkinan runtuhan sebahagian struktur stadium namun pasukan bola sepak Alianza Lima menafikan dakwaan tersebut.
Dalam satu kenyataan di platform X, kelab itu memaklumkan kejadian berkenaan tidak berpunca daripada kegagalan struktur atau runtuhan dinding kompleks sukan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Bomba, Marcos Pajuelo berkata, pemeriksaan awal mendapati struktur tempat duduk di bahagian selatan stadium berada dalam keadaan baik.
“Tiada tanda runtuhan dinding atau bahagian struktur yang jatuh,” katanya. – AFP










