Reset emosi Harimau Malaya

Reset emosi Harimau Malaya

AKSI ketika Harimau Malaya menentang Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.-IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya memerlukan tempoh bertenang bagi menjalani proses pemulihan menyeluruh, khususnya daripada aspek emosi selepas impian ke Piala Asia 2027 berkubur dengan cara cukup ‘kejam’.

​Ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski, mengakui fokus utamanya ketika ini adalah memastikan kestabilan mental para pemain selepas menutup kempen kelayakan Kumpulan F dengan kekalahan 1-3 kepada Vietnam.

Kekalahan di gelanggang lawan itu bukanlah punca utama yang merobek semangat pasukan, sebaliknya keputusan teknikal di luar padang yang menjadi igauan ngeri buat skuad negara.

​Menurut Cklamovski, situasi yang melanda pasukan ketika ini sangat luar biasa dan jarang berlaku dalam kerjaya mana-mana pemain profesional.

Jelasnya, para pemainnya kini sedang bergelut dengan kekecewaan yang amat dalam selepas kemenangan yang diraih dengan titik peluh di atas padang dinafikan susulan hukuman daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

​”Apa yang penting sekarang adalah hak pemain untuk pulih. Saya merasakan ada proses pemulihan emosi yang perlu dilalui kerana situasi ini sangat unik.

“Ada rasa ralat yang sangat besar dalam kem kerana mata kami dirampas begitu sahaja. Walaupun mereka pemain profesional, mereka juga manusia biasa yang memerlukan masa untuk bangkit semula daripada kekecewaan ini,” katanya.

​Terdahulu, impian Malaysia untuk terbang ke Arab Saudi tahun depan musnah apabila AFC membatalkan kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain.

Keputusan tersebut menyaksikan mata yang dipungut hasil perjuangan bermati-matian di padang terbatal begitu sahaja, sekali gus meranapkan prestasi cemerlang yang dipamerkan sepanjang kempen.

​Mengulas lanjut, Cklamovski tetap mempertahankan kredibiliti anak buahnya dengan menyifatkan mentaliti dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang kem latihan sebagai sesuatu yang luar biasa.

Baginya, komitmen pemain tidak harus dipertikaikan meskipun pengakhiran kempen ini dicemari dengan isu pentadbiran yang di luar daripada bidang kuasa mereka.

​”Kami menjalani kem yang sangat baik dan cara latihan kami amat berkualiti. Sekarang adalah masa untuk pemulihan. Pemain akan kembali ke kelab masing-masing dan selepas itu, barulah kami akan kembali fokus kepada perancangan seterusnya untuk masa depan pasukan kebangsaan,” ujarnya.

​Malaysia mengakhiri saingan Kumpulan F di tangga kedua dengan mengumpul sembilan mata selepas kehilangan enam mata penting akibat hukuman AFC.

Vietnam muncul juara kumpulan dengan mengumpul 18 mata maksimum, termasuk mendapat kemenangan percuma 3-0 ke atas Malaysia, walaupun keputusan asal perlawanan tersebut memihak kepada Harimau Malaya dengan kemenangan besar 4-0.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN