LIVERPOOL: Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele menjadi watak penting pasukan apabila meledak dua gol untuk menewaskan Liverpool 2-0 pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield, semalam,
Dembele meledak dua gol penting, masing-masing pada minit ke-72 dan masa kecederaan, untuk memastikan kemenangan agregat 4-0.
Meskipun berbekalkan kelebihan 2-0 daripada perlawanan pertama, PSG terpaksa berdepan tekanan hebat daripada tuan rumah yang melancarkan 21 percubaan ke arah gol dalam keadaan cuaca hujan dan berangin.
Dembele berkata, dia sudah menjangkakan aksi sukar di Anfield biarpun pasukannya memiliki kelebihan gol.
“Ini adalah suku akhir Liga Juara-Juara dan bermain di stadium seperti ini sentiasa mencabar. Walaupun kami menang pada perlawanan pertama, kami tahu perlawanan ini tidak mudah.
“Dalam kejohanan ini tiada perlawanan yang senang. Kami perlu berjuang habis-habisan untuk terus melangkah jauh,” katanya.
Menurut pemain Perancis itu, PSG mengawal permainan dengan baik pada separuh masa pertama sebelum terpaksa bertahan dalam tempoh panjang pada babak kedua.
Bagaimanapun, katanya, disiplin tinggi pasukan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memanfaatkan peluang menerusi serangan balas.
Kemenangan itu menyaksikan PSG mara ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut sejak dibimbing jurulatih dari Sepanyol, Luis Enrique.

“Kami bermain dengan sangat baik terutama pada separuh masa pertama dan berjaya mengawal permainan di kawasan lawan.
“Pada separuh masa kedua, kami terpaksa bertahan seperti dijangka, namun pemain melaksanakan tugas dengan cemerlang. Secara keseluruhan, kami layak mara,” kata Enrique.
Dalam pada itu, PSG kini menunggu pemenang antara Real Madrid dan Bayern Munich untuk aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Sementara itu, Enrique memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan lanjut berhubung kecederaan yang dialami oleh Nuno Mendes dan Desire Doue yang terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan tersebut.
“Kami akan menilai keadaan mereka dalam masa terdekat kerana perlawanan ini cukup berintensiti tinggi,” katanya. – AFP










