Piala Thomas: Kem perseorangan hantar isyarat bahaya

Piala Thomas: Kem perseorangan hantar isyarat bahaya

Kenneth Jonassen mahu memastikan sektor perseorangan terus diperkasakan. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi hambar perseorangan lelaki negara memberi isyarat bahaya menjelang saingan Piala Thomas hujung bulan ini apabila Leong Jun Hao dan Justin Hoh tersingkir awal di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China, kelmarin.

Kekalahan itu hadir pada waktu paling kritikal ketika Malaysia hanya mempunyai tempoh kurang dua minggu untuk mempersiapkan diri ke kejohanan berpasukan berprestij dunia itu di Horsens, Denmark.

Jun Hao yang berada di ranking ke-23 dunia sekali lagi gagal mempamerkan aksi meyakinkan apabila tewas straight set kepada pemain No.4 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie dengan keputusan 21-13, 21-8.

Situasi itu menambah tekanan apabila Justin yang menghuni ranking ke-40 dunia turut mengikut jejak langkah sama selepas tewas kepada Alwi Farhan dalam pertarungan tiga set.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengakui prestasi semasa pemain negara belum berada pada tahap sepatutnya menjelang kejohanan besar itu.

“Malangnya ini bukan satu persembahan yang baik apabila dia dilihat ketinggalan dalam banyak aspek permainan dan kami kini hanya mempunyai kira-kira dua minggu untuk memperbaiki kelemahan tersebut,” kata Jonassen kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, kem latihan pusat menjelang Piala Thomas di Herning akan menjadi fasa paling penting untuk memperkemaskan semula corak permainan bagi memastikan pemain berada pada tahap kompetitif.

“Kem latihan menjelang Piala Thomas di Herning akan menjadi sangat penting buatnya dan kami perlu segera menangani segala kelemahan ini jika dia mahu benar-benar bersedia menghadapi pusingan akhir,” katanya.

Kebimbangan itu turut ditambah dengan status bintang profesional negara, Lee Zii Jia yang masih belum pasti menyertai latihan pusat, sekali gus menambahkan lagi tanda tanya terhadap kekuatan skuad negara menjelang kempen Piala Thomas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN