PETALING JAYA: Masalah baharu melanda bola sepak negara apabila terdapat pengadil Liga Malaysia (Liga M) yang mendakwa terpaksa ‘mengemis’ untuk mendapatkan bayaran.
Industri bola sepak tempatan yang sering dicanang sebagai profesional dan bernilai jutaan ringgit kini dipalit arang selepas didakwa gagal melunaskan elaun pengadil sejak tahun lalu.
Pendedahan ini bukan sahaja memalukan, malah mencerminkan kegagalan pengurusan yang mengabaikan kebajikan ‘hakim padang’ yang menjadi tulang belakang setiap perlawanan.
Menurut sumber yang dipercayai, masalah bayaran elaun pengadil tidak hanya terhad kepada satu saingan sahaja, tetapi melibatkan hampir keseluruhan piramid bola sepak negara.
”Pengadil pun elaun tidak dibayar dari tahun lepas membabitkan saingan Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran dan Liga A1,” dedah sumber kepada Utusan Malaysia.
Lebih tragis, demi memikul tanggungjawab dan memastikan liga tidak terhenti, ada pengadil yang terpaksa ‘mengorek’ tabung simpanan sendiri hanya untuk menanggung kos perjalanan dan logistik.
Situasi ini dianggap sebagai satu bentuk penindasan apabila ada individu yang sudah mengadili berbelas perlawanan namun dipercayai tuntutan mereka tetap menemui jalan buntu.
Malah, pengadil yang ditugaskan ke luar kawasan terpaksa menanggung beban kewangan yang besar tanpa sebarang bayaran balik daripada pihak berwajib.
“Ada pengadil yang kena keluarkan duit poket sendiri dulu untuk buat perlawanan, malah ada yang difahamkan sampai berbelas perlawanan tidak dibayar.
”Kesian dekat pengadil kerana perlu ke sana sini, duit hotel, minyak, tol dan makan guna duit sendiri apabila buat perlawanan di luar tempat tinggal dia. Bila buat tuntutan tidak masuk,” jelasnya.
Meskipun kebanyakkan pengadil liga tempatan mempunyai pekerjaan hakiki namun jika tidak mendapat bayaran yang sepatutnya menjadi tambahan pendapatan, tentu sekali ia akan menyebabkan kewangan mereka terjejas teruk.
Bukan sahaja pengadil, malah penilai yang ditugaskan untuk memantau prestasi mereka juga kini berputus asa selepas turut menerima nasib yang sama.
”Yang ada kerja lain juga pasti akan koyak poket, sebab kerja (pengadilan) buat tapi duit tidak dapat. Penilai pengadil juga tidak terima elaun,” ujarnya.
Sekiranya badan induk dan pengelola liga terus memekakkan telinga terhadap isu ‘perut’ pengadil ini, jangan terkejut jika satu hari nanti kualiti pengadilan negara jatuh merudum sehingga tidak dapat diselamatkan lagi.
Maruah bola sepak Malaysia tidak akan ke mana-mana jika insan yang bertanggungjawab menegakkan keadilan di atas padang terus dizalimi dan diperlakukan seperti peminta sedekah.-UTUSAN










