KUALA LUMPUR: Beregu China, Korea Selatan dan Jepun menjadi tembok besar yang perlu dipecahkan oleh Pearly Tan-M. Thinaah dalam misi memburu gelaran di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China, minggu depan.
Pearly-Thinaah yang juga beregu No. 2 dunia berdepan persaingan sengit daripada Liu Sheng Shu-Tan Ning serta Zhang Shu Xian-Jia Yi Fan dari China, Baek Ha Na-Lee So Hee (Korea Selatan) selain wakil Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
Lebih membimbangkan, mereka turut membawa memori pahit apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi 2025 di Ningbo, sekali gus meletakkan tekanan tambahan untuk bangkit kali ini.
Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, Pearly-Thinaah sentiasa sedar akan tekanan susulan kehadiran pasangan-pasangan elit Asia tersebut.
“Ya, seperti saya katakan tadi, tekanan itu memang sentiasa ada dan mereka sedar mengenainya serta mahu memberikan yang terbaik. Motivasi memang ada, tetapi setiap kejohanan kita akan berdepan cabaran berbeza.
Jadi saya hanya boleh nilai ketika kejohanan berlangsung kerana sekarang semuanya dalam keadaan baik dan kita sedang membuat persiapan, harapnya mereka dapat memberikan persembahan terbaik,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Tahun lalu, Pearly-Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama BAC selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong.
Mengulas mengenai undian menentang pasangan Hong Kong No. 50 dunia, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying pada aksi pusingan pertama minggu depan, Rosman berkata, anak buahnya perlu berwaspada dan tidak boleh memandang mudah cabaran tersebut.
“Undian saya rasa seperti biasa, adil untuk semua dan pusingan pertama bertemu Hong Kong mungkin boleh diatasi, tetapi mereka perlu berhati-hati.
“Namun seperti saya katakan, undian mereka sama seperti kejohanan lain, tiada apa yang berbeza dan kami hanya perlu memberi fokus kepada permainan sendiri,” ujarnya.-UTUSAN










