JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk melakar sejarah baharu Liga Malaysia dengan memenangi kejuaraan quadruple (empat piala semusim) bagi empat tahun berturut-turut selepas layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City dengan agregat 8-1, kelmarin.
Skuad kendalian Xisco Munoz itu sebelum ini telah mengesahkan kejuaraan Liga Super 2025/2026 selain memenangi Piala Sumbangsih dengan menewaskan Selangor FC 3-0 dan menjulang Piala FA apabila menewaskan Sabah FC 5-0.
Katanya, ini tanggungjawab yang besar buat dirinya untuk mengemudi pasukan yang mantap bagi melakar lebih banyak kejayaan bersama JDT.
“JDT sekali lagi akan beraksi di pentas final dan semakin hampir untuk menambah koleksi trofi dalam kabinet kelab ini. Jadi, kita perlu pastikan Piala Malaysia tidak terlepas dari genggaman.
“Ini satu-satunya cara buat kami zahirkan rasa terima kasih buat bos (Tunku Mahkota Ismail) yang sentiasa membuka ruang buat pasukan untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Dalam perlawanan kelmarin, Bergson Da Silva meledak dua gol manakala Syahmi Safari dan Ajdin Mujagic masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu pasukan menjinakkan KL City 4-1.
Sekiranya Munoz berjaya melengkapkan kejuaraan quadruple pada musim ini, beliau menjadi ketua jurulatih ketiga JDT mencatatkan rekod membanggakan itu selepas Esteban Solari (2023) dan Hector Bidoglio (2024).
Ditanya mengenai siapa lawan yang ingin dihadapi pada pentas akhir Piala Malaysia, Munoz tiada masalah untuk berdepan sama ada Selangor FC atau pun Kuching City FC yang akan membuat perhitungan pada 18 April ini.
Katanya, skuad Harimau Selatan akan beri tumpuan pada aksi Liga Super seterusnya menentang Terengganu FC sebelum berdepan perlawanan penting pada aksi suku akhir Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang pemenang antara Al-Ahli (Arab Saudi) dan Al-Duhail (Qatar).
“Siapa pun lawan kami, itu tidak menjadi masalah. Yang penting, JDT perlu mempersiapkan diri bagi memastikan kemenangan berada dalam genggaman,” ujarnya.-UTUSAN










