PETALING JAYA: Konflik di Asia Barat dijangka memberi kesan besar terhadap perancangan kontinjen negara ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini khususnya melibatkan kos penghantaran atlet.
Situasi itu membuka kemungkinan jumlah atlet yang dihantar akan dikurangkan dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang berpotensi menyumbang pingat susulan kos penerbangan yang semakin meningkat.
Ketua Kontinjen (CDM) ke temasya berkenaan, Datuk Mohd. Sumali Reduan mengakui perkara itu tidak boleh dielakkan sekiranya kos terus meningkat dalam tempoh terdekat.
“Kalau nak jimat mungkin dia kurangkan atlet lagi, yang betul-betul boleh memberikan pingat, peluang yang besar untuk dapatkan pingat.
“Namun saya tak ada maklumat lanjut dan semuanya bergantung kepada sejauh mana krisis ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” kata Sumali selepas Mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) kali pertama bagi 2025–2027 di sini, semalam.
Menurut Sumali, kesan ekonomi akibat konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja memberi impak jangka pendek, malah boleh berlarutan walaupun situasi kembali reda.
Katanya, pemulihan ekonomi mengambil masa dan boleh menjejaskan pelbagai aspek termasuk perancangan sukan berprestasi tinggi negara.
Perkara itu kini dalam perhatian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang sedang menilai segala kemungkinan sebelum membuat sebarang keputusan rasmi.
“Setakat ini, belum ada sebarang makluman rasmi atau keputusan rasmi dan perkara ini masih dalam peringkat perbincangan.
“Saya sebagai CDM tidak boleh mendahului kerana perlu tunggu lampu hijau termasuk daripada Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria dan pihak kementerian sebelum sebarang pengumuman dibuat,” katanya.-UTUSAN










