PETALING JAYA: Machan FC sah menarik diri dalam selepas mengharungi 22 perlawanan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026.
Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad mengesahkan perkara tersebut selepas menerima surat makluman penarikan diri dari kelab semalam.
“Machan FC telah secara rasmi menarik diri dari saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 3 April 2026.
“Kita telah berusaha untuk berbincang dan cuba membantu Machan FC dalam menangani masalah yang dihadapi namun pihak pengurusan kelab telah nekad dengan keputusan mereka.
“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati dan susulan penarikan diri Machan FC, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang telah dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi Machan FC,” katanya.
Tambah Mohd Raimi, rentetan penarikan diri Machan FC, perjalanan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 akan diteruskan mengikut perancangan sedia ada termasuk pembatalan semua perlawanan yang telah dijadualkan melibatkan Machan FC.
Machan FC turut dikenakan hukuman pengantungan semusim (2026/2027) daripada menyertai pertandingan anjuran AFL dan didenda RM20,000.00 dan perkara tersebut juga akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk hukuman tambahan. – UTUSAN










