MANCHESTER: Pengendali Leeds United, Daniel Farke menyifatkan kemenangan bersejarah 2-1 ke atas Manchester United sebagai satu langkah besar ke hadapan dalam usaha pasukannya mengekalkan kedudukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Aksi di Old Trafford, semalam menyaksikan Leeds menamatkan penantian panjang untuk mencatat kemenangan liga pertama di gelanggang tersebut sejak 1981.
Dua jaringan awal daripada Noah Okafor pada separuh masa pertama memberi keselesaan kepada pelawat sebelum tuan rumah bangkit memberi tekanan pada babak kedua.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila pertahanan United, Lisandro Martinez dilayangkan kad merah selepas insiden menarik rambut Dominic Calvert-Lewin.
United bagaimanapun merapatkan jurang menerusi tandukan Casemiro, sekali gus mencetuskan aksi mendebarkan di penghujung perlawanan.
Namun, dua aksi menyelamat di garisan gol oleh Leeds memastikan mereka bertahan sehingga wisel penamat, sekali gus meraih kemenangan liga pertama ke atas United sejak 2002 dan kemenangan pertama dalam semua pertandingan sejak 2010.
Menurut Farke, kejayaan itu amat penting buat pasukannya yang kini berada enam mata di atas zon penyingkiran dengan baki enam perlawanan.
“Bangga dengan para pemain. Ini persembahan yang luar biasa. Dalam tempoh genting seperti ini, kami perlu kekal tenang dan berpegang kepada pelan permainan,” katanya.
Farke turut mengakui Leeds sepatutnya memperoleh kelebihan lebih besar selepas menguasai separuh masa pertama.
“Kami cipta banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya. Kami juga sedikit leka dalam satu situasi bola mati.
“United memiliki pemain berkualiti tinggi dan mampu memberi impak daripada bangku simpanan. Sebagai pasukan baharu dinaikkan, bukan mudah untuk menamatkan perlawanan seperti ini,” katanya.
Dalam masa sama, Farke menegaskan prestasi konsisten sepanjang musim membuktikan Leeds layak berada di kedudukan lebih baik dalam carta liga.
“Ini bukti kami sepatutnya berada di posisi lebih tinggi. Kemenangan ini penting untuk keyakinan dan juga kedudukan pasukan,” katanya.
Leeds kembali ke EPL musim ini selepas dinaikkan pangkat daripada Kejuaraan, kini berada di landasan terbaik untuk kekal dalam saingan liga tertinggi England.
Selain itu, mereka turut bakal beraksi dalam separuh akhir Piala FA menentang Chelsea di Wembley pada 26 April ini.
“Kami perlu kekal merendah diri. Kami belum sempurna tetapi berada di landasan yang betul untuk mencapai sesuatu yang positif musim ini,” kata Farke lagi. – AFP










