PETALING JAYA: Pengendali Kuching City FC (KCFC), Aidil Sharin Sahak menegaskan pasukannya tidak berdepan sebarang tekanan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC (SFC) di laman sendiri pada 18 April ini.
Jelasnya, status sebagai pasukan ‘underdog’ memberi kelebihan psikologi buat The Cats untuk turun tanpa beban, berbanding lawan yang memikul harapan tinggi sebagai antara pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak negara.
Justeru, Aidil menggesa anak buahnya terus mengekalkan konsistensi yang dipamerkan sepanjang musim ini tanpa dibelenggu tekanan dan akui prestasi pemainnya menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Pasukan mana yang lebih besar sekarang? Selangor atau Kuching? Jadi kenapa kita perlu rasa tertekan kerana mereka ada bajet, pemain dan jangkaan lebih besar.
“Lihat sahaja berapa ramai jurulatih yang ditukar kerana apa? Mereka perlukan keputusan jadi bagi kita, kita hanya perlu lakukan bahagian kita.
“Walaupun rekod menunjukkan kita sentiasa bertambah baik, saya tidak mahu pemain saya tertekan kerana kita sudah mencipta rekod mara ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama.
“Insya Allah, saya rasa tuah juga memainkan peranan besar. Jadi saya berharap kita dapat lakukan yang lebih baik pada aksi kedua nanti,” katanya.
Dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), KCFC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Ronald Ngah Wanja selepas dia dijatuhkan Safuwan Baharudin.
Tuan rumah bagaimanapun lebih mendominasi permainan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyudah Chrigor Moraes ketika aksi berbaki tiga minit, sekali gus menghidupkan peluang kedua-dua pasukan menjelang pertemuan penentuan di Kuching.










