KOTA BHARU: Barisan pemain Kelantan Red Warriors FC (KRW) dituntut agar terus memberikan persembahan terbaik dan berusaha mencapai misi layak secara merit ke Liga Super musim depan.
Ketua Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan, ia merupakan satu-satunya permintaannya ketika ini demi membalas jasa serta kepercayaan Nasken Coffee (PM) Sdn. Bhd. selaku pemilik kelab.
Menurutnya, KRW perlu berada pada kedudukan terbaik dalam carta liga kerana beliau sendiri mahu pasukan itu layak ke Liga Super secara merit dan bukan atas dasar jemputan bagi memenuhkan kuota.
“Pihak majikan sudah memberikan yang terbaik dalam menjaga kebajikan pemain-pemain, jurulatih serta pihak pengurusan pasukan, termasuk pembayaran gaji tidak tertunggak dan penyediaan makanan percuma pada setiap sesi latihan.
“Saya faham di penghujung musim, pemain mula keletihan, kelesuan dan tertekan. Namun mereka perlu kekal fokus dan KRW mesti layak ke Liga Super secara merit, supaya dilihat lebih ‘jantan’ dan bukan sesekali atas dasar jemputan,” katanya.
Beliau menjelaskan, berikutan pendahulu liga, Selangor FC II berserta Johor Darul Taazim II (JDT II) dan mungkin Kedah FA tidak mara ke Liga Super pada musim depan, KRW perlu berada sekurang-kurangnya pada kedudukan empat atau lima pasukan terbaik.
“Saya yakin kita mampu capai sasaran itu memandangkan selepas ini majoriti perlawanan kita adalah di gelanggang sendiri. Jadi saya mahu pemain-pemain ambil kesempatan ini untuk mencari mata penuh dan melonjakkan kedudukan pasukan,” katanya.
Mengulas mengenai aksi terakhir KRW sebelum ini, Irfan bakti gembira apabila KRW merakam kemenangan besar 6-0 ke atas Malaysian University FC (MUFC) selepas dua kekalahan tipis di tangan Perak FA dan JDT II sebelum ini.
Beliau juga berpuas hati dengan prestasi setiap pemain KRW dan teruja melihat Emmanuel Mbarga merakam hatrik kedua dalam liga serta Philip Musa memecah kebuntuan dengan meledakkan dua gol.-UTUSAN










