LONDON: Penjaga gol Leeds United, Lucas Perri muncul wira ketika pasukannya menewaskan West Ham United 4-2 menerusi penentuan penalti untuk mara ke separuh akhir Piala FA.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 hingga masa tambahan yang memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti dengan Perri mempamerkan ketangkasannya di pintu gawang.
Kejayaan itu menyaksikan Leeds melangkah ke separuh akhir buat kali pertama sejak musim 1986-87, meskipun terpaksa bangkit daripada tekanan hebat selepas melepaskan kelebihan dua gol pada penghujung perlawanan.
Leeds terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi Ao Tanaka dan mereka kemudian menggandakan kelebihan hasil sepakan penalti Dominic Calvert-Lewin pada minit ke-75.
Namun, West Ham bangkit dalam masa kecederaan apabila Mateus Fernandes menjaringkan gol pada minit ke-93 diikuti jaringan penyamaan Axel Disasi empat minit kemudian untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Walaupun tuan rumah dilihat lebih menguasai permainan selepas itu, dua jaringan mereka dibatalkan kerana ofsaid sebelum perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Dalam penentuan itu, Perri menjadi penyelamat Leeds apabila menafikan percubaan Jarrod Bowen dan Pablo Fornals, sebelum Pascal Struijk menyempurnakan sepakan kemenangan.
Leeds akan berdepan Chelsea di separuh akhir, manakala satu lagi perlawanan menemukan Manchester City dan Southampton.- AGENSI










