KOTA BHARU: Kesilapan mudah serta berulang menjadi punca Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) dilanyak oleh skuad Gergasi Merah dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Pembantu jurulatih, Zairul Fitree Ishak berkata, kekalahan 0-6 itu tidak boleh dipandang sepi oleh pasukan dan sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaiki segala kelemahan menjelang baki dua perlawanan pada 10 dan 15 Mei nanti.
Menurutnya, pada perlawanan itu, Kelantan TRW hanya mampu memberi saingan dan melaksanakan tugasan dalam padang dalam 30 minit terawal sebelum barisan pemain mula melakukan kesilapan-kesilapan mudah.
“Apabila kita berulangkali melakukan kesilapan mudah ketika berdepan lawan sekuat Selangor, sudah pasti mereka akan ambil kesempatan dan memanfaatkan setiap peluang terhidang untuk menghukum kita.
“Memang banyak yang perlu kita perbaiki dan kita perlu memanfaatkan masa luang selama dua minggu ini untuk melakukannya, sekali gus mempersiapkan pasukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.
Beliau yang pertama kali memegang tanggungjawab mengendali pasukan turut menyatakan kekecewaan melihat kerapuhan benteng pertahanan Kelantan TRW sehingga mudah dirobek oleh lawan.
“Memang sangat kecewa menyaksikan benteng pertahanan begitu longgar malam ini (malam tadi) sehingga memberi keselesaan untuk pemain lawan memasuki kawasan bahaya dan membuat percubaan demi percubaan sehingga menghasilkan enam gol.
“Sebab itu saya amat berharap dalam masa dua minggu ini, kita akan dapat memperbaiki pasukan terutama dari segi mentaliti dan kesilapan-kesilapan mudah yang berulang kali dilakukan. Memang kita perlu baiki,” katanya.
Zairul Fitree memberitahu, semenjak pemergian penolong ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, beliau cuba menggunakan masa dua minggu untuk membuat persediaan bagi berdepan Selangor.
Katanya, selepas kekalahan di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada minggu lalu, persiapan pasukan memang berdepan kesulitan, lebih-lebih lagi apabila kehilangan khidmat beberapa pemain utama akibat kecederaan.
“Seramai empat pemain utama kami mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan, termasuk penjaga gol utama, Damyan Damyanov dan tonggak pertahanan, Rakesh Munusamy,” ujarnya.
-Habis-










