Kelab bersatu demi kelangsungan Liga M

Kelab bersatu demi kelangsungan Liga M

PENINGKATAN kos operasi dan konflik global ini memberi kesan kepada kelab Liga Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelab Liga Malaysia (Liga M) mula menyuarakan desakan agar perubahan besar-besaran dilakukan bagi memastikan kelangsungan ekosistem bola sepak tempatan yang semakin terhimpit dengan isu kewangan.

Tekanan kos operasi yang meningkat, termasuk faktor konflik global dilihat mula memberi kesan langsung kepada pengurusan kelab-kelab bertanding, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan saingan liga.

Selangor FC menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon antara pihak terawal yang menyuarakan pandangan dengan mencadangkan satu sesi meja bulat diadakan bagi mencari idea penyelesaian isu kewangan.

Menurut Johan, penyelesaian kepada masalah tersebut memerlukan perubahan besar serta komitmen bersama daripada semua pihak, bukan hanya bergantung kepada satu kelab sahaja.

Perkara itu disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus yang menegaskan sudah tiba masanya semua pihak duduk semeja bagi merangka penyelesaian menyeluruh melibatkan semua pemegang taruh utama.

Beliau mencadangkan agar satu sesi perbincangan besar-besaran melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Liga Bolasepak Amatur (AFL), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta semua kelab Liga M diadakan segera bagi mencari formula baharu yang lebih mampan.

“Ini bukan lagi isu kecil. Ia membabitkan kelangsungan industri bola sepak kita. Semua pihak perlu duduk semeja dan berbincang secara menyeluruh,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew yang melihat cabaran kewangan dan struktur sedia ada tidak lagi sesuai dengan realiti semasa, sekali gus memerlukan penyelesaian yang lebih berani dan realistik.

“Kami bersedia untuk menyumbang idea dan memainkan peranan kami termasuk membuat keputusan yang sukar sekiranya perlu, demi kebaikan bersama.

“Keutamaan harus diberikan kepada usaha membina liga yang lebih stabil, kompetitif dan berdaya komersial yang memberi manfaat kepada kelab, pemain serta penyokong.

Sementara itu, ketua Pegawai Operasi Terengganu FC , Mohd Syahrizan Mohd Zain, menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh dan kerjasama erat semua pihak amat diperlukan bagi memastikan reformasi liga dapat dilaksanakan secara berkesan.

Di tengah kebimbangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Darul Ta’zim (JDT) , Luis Garcia turut menggesa agar satu perbincangan meja bulat segera diadakan bagi mencari titik penyelesaian kepada isu kewangan yang membelenggu kelab-kelab Liga M.

“Saya percaya kita wajar mengadakan sesi perbincangan ini bersama semua pasukan kerana kita perlu mengetahui apakah idea penyelesaian beliau (Johan).

Untuk rekod, beberapa pasukan seperti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kelantan FC dan Sri Pahang sudah pun ‘gulung tikar’ malah ketika ini, beberapa pasukan Liga Super dilaporkan sedang dihimpit masalah tunggakan gaji dan rekod lampau menunjukan terdapat kelab pernah dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN