Kecederaan belakang hantui Pearly menjelang Piala Uber

Kecederaan belakang hantui Pearly menjelang Piala Uber

Pearly Tan berdepan kecederaan belakang - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kecederaan belakang kembali menghantui pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan menjelang cabaran getir Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Kebimbangan itu timbul selepas Pearly bersama pasangannya, M. Thinaah tersingkir di suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China pada Jumaat lalu.

Pasangan No. 2 dunia itu tewas straight set 13-21, 15-21 kepada beregu China yang menjadi juara kelmarin, Li Yi Jing-Luo Xu Min sekali gus meleburkan impian menamatkan kemarau 16 tahun pingat acara beregu wanita negara.

Lebih membimbangkan, kekalahan tersebut turut diselubungi isu kecederaan apabila Pearly mengakui beraksi dalam keadaan tidak selesa akibat masalah belakang berulang.

“Sejujurnya selepas perlawanan pada Jumaat, kesakitan itu datang semula dan walaupun saya cuba pulih dengan bantuan rawatan, kesakitan itu masih ada.

“Ketika mula turun ke gelanggang saya tidak rasa sakit, tetapi di pertengahan perlawanan ia kembali dan saya hanya cuba habiskan permainan sebaik mungkin,” kata Pearly.

Situasi itu memberi isyarat kurang menyenangkan buat kem negara yang sedang membuat persiapan akhir menghadapi saingan berpasukan paling berprestij tersebut.

Dalam Piala Uber, kem negara turut mempertaruhkan Ong Xin Yee-Carmen Ting serta gandingan muda Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan. 

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Uber hanya mara ke suku akhir pada edisi 2010, manakala kempen edisi 2024 lalu menyaksikan skuad negara terkandas seawal peringkat kumpulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN