LONDON: Penyerang Liverpool, Alexander Isak dijangka memperkuatkan jentera hadapan The Reds dalam aksi suku akhir Piala FA menentang Manchester City, malam ini.
Isak, yang direkodkan sebagai pembelian termahal Britain bernilai 125 juta pound (RM980 juta), dilihat mampu memperkukuh jentera serangan Liverpool menjelang fasa penting musim ini sekaligus memberikan satu kelegaan buat pengendali The Reds, Arne Slot.
“Dia berada dalam keadaan baik, tambahan pula Sweden berjaya layak ke Piala Dunia. Walaupun ini sesi latihan pertama selepas beberapa bulan, kehadirannya amat penting buat kami,” kata Slot.
Pertembungan di Stadium Etihad itu hadir pada saat getir buat Liverpool yang kini bergelut dalam saingan domestik, sekali gus menjadikan Piala FA dan Liga Juara-Juara sebagai peluang terakhir memburu kejuaraan musim ini.
City pula berada di landasan terbaik selepas mempamerkan aksi bertenaga menewaskan Arsenal 2-0 dalam final Piala Liga sebelum rehat antarabangsa, sekali gus menghidupkan semula misi mengulangi pencapaian treble domestik seperti musim 2018/19.
Bagi Slot, tempoh 10 hari akan datang boleh menentukan hala tuju kariernya di Anfield ketika pasukannya bukan sahaja perlu melepasi City, malah bakal berdepan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain dalam suku akhir Liga Juara-Juara.
Tekanan semakin memuncak apabila Liverpool kini terperosok di tangga kelima liga, jauh daripada sasaran sebenar kelab.
Dalam masa sama, tumpuan turut terarah kepada Salah yang mengumumkan bakal meninggalkan kelab penghujung musim ini selepas menjaringkan 255 gol satu angka yang mengukuhkan statusnya sebagai legenda.
“Harapnya dia dapat menambah lagi keistimewaan legasinya dalam minggu-minggu mendatang kerana kami masih memburu sesuatu yang besar,” kata Slot.
Sementara itu, Chelsea dan Arsenal dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir di Wembley apabila menentang lawan dari divisyen lebih rendah.
Satu lagi aksi menarik menyaksikan West Ham United dan Leeds United menangguhkan seketika misi kelangsungan dalam liga demi memburu slot ke kelompok empat terbaik.- AGENSI










