Hidup ibu enam anak hancur kerana suami penagih dadah

Wanita, jangan salah pilih suami penagih dadah

ZAZA (kiri) antara 30 banduan dibebaskan awal pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di Penjara Pokok Sena.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: “Kepada kaum wanita, jangan salah memilih suami penagih dadah dengan harapan mampu me­ngubahnya kerana silap langkah boleh mengheret diri menjadi penagih,” kata Zaza, 35.

Ibu kepada enam anak itu berkongsi pengalaman pahitnya selepas terjebak dalam penagihan dadah sehingga akhirnya terpaksa menjalani hukuman penjara akibat kesilapan pilihan hidup. Zaza mula terlibat dengan dadah sejak enam tahun lalu akibat pengaruh bekas suaminya yang merupakan seorang penagih syabu.

“Saya tahu dia penagih apabila sudah berkahwin. Namun teruskan juga dengan harapan dia berubah tetapi sebaliknya saya yang terpengaruh. Ini salah saya sendiri.

“Sekali mencuba memang su­sah nak tinggalkan benda itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Le­sen (PBSL) Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di Penjara Pokok Sena, di sini baru-baru ini.

Zaza salah seorang daripada 30 banduan dibebaskan awal berkata, dia tidak dapat menggambarkan kegembiraannya apa­bila terpilih dalam program ter­sebut.

“Saya sepatutnya keluar 9 Jun nanti tetapi dapat keluar awal, kalau tidak berayalah saya dalam penjara. Saya cuma ingin pulang untuk menjaga bapa yang sakit kerana angin ahmar.

“Saya juga ingin beraya dengan anak-anak saya yang dijaga oleh mentua. Saya sudah insaf dan ingin tebus kesalahan saya kepada semua. Walaupun tidak sampai dua bulan di penjara, ia cukup menginsafkan,” katanya.

Dia ditahan sejak 9 Februari lepas berkata, sepanjang menjalani hukuman di penjara itu kehidupannya terisi dengan pelbagai aktiviti termasuk berpeluang memperbaiki amal ibadah sepanjang Ramadan.

“Banyak yang saya pelajari di sini seperti membaca al-Quran. Berpuasa dan solat tarawih penuh dengan tenang. Saya nak terus baiki diri saya walaupun sudah bebas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Kedah, Timbalan Komisioner Penjara Charin Promwichit berkata, daripada 30 banduan terlibat, seramai 15 daripadanya dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga manakala selebihnya ditempatkan di bawah majikan masing-masing.

“Jabatan Penjara sentiasa memberi peluang kepada prospek untuk berubah dan insaf atas kesilapan lalu. Mereka layak diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri serta kembali kepada masyarakat dan keluarga.

“Mereka diharapkan menjauhkan diri daripada pengaruh negatif yang boleh mendorong kembali kepada jenayah. Kita juga berharap keluarga dan majikan dapat menerima mereka dan memberi peluang kedua tanpa mengira latar belakang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN