Dua 'nakhoda' Harimau Malaya

Dua ‘nakhoda’ Harimau Malaya

NAFUZI Zain bakal mengemudi Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF pada Julai depan-. IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya dijangka mempertaruhkan strategi ‘serampang dua mata’ dalam usaha mengembalikan taring Harimau Malaya di pentas Asia Tenggara menerusi pembahagian tugas antara dua pengendali berwibawa.

Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Nafuzi Zain difahamkan akan diberi tanggungjawab untuk mengemudi skuad senior ke kempen Piala AFF pada Julai depan.

Ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski pula akan memberi tumpuan untuk misi lebih getir iaitu saingan Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang dijadualkan berlangsung dalam kalendar rasmi badan induk dunia itu.

Cklamovski menyifatkan pemberian tanggungjawab berkenaan kepada Nafuzi bukan sekadar eksperimen kosong, sebaliknya merupakan pelan strategik demi kesinambungan kekuatan pasukan kebangsaan di masa hadapan.

​”Saya masih belum boleh sahkan sepenuhnya, tetapi ini perancangan awal. Kejohanan ini lebih kepada membentuk pasukan dan memberi pendedahan,” kata pengendali kelahiran Australia itu.

Berbeza dengan saingan Piala AFF, Cklamovski memberi jaminan bahawa beliau akan mempertaruhkan barisan terkuat negara bagi menghadapi Piala ASEAN FIFA.

Kejohanan tersebut menjadi keutamaan kerana statusnya dalam kalendar antarabangsa membolehkan semua pemain terbaik, termasuk yang berpangkalan di luar negara, dipanggil menyertai pasukan.

​”Kita akan hantar skuad terbaik untuk Piala ASEAN FIFA,” tegas beliau, memberi isyarat jelas mengenai perbezaan objektif bagi kedua-dua kejohanan tersebut.

​Pendekatan ‘naik pangkat’ buat Nafuzi ini dilihat sebagai platform terbaik untuk beliau membuktikan kepakaran taktikalnya di peringkat senior, selain memberi ruang kepada pemain pelapis menonjolkan bakat di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, tekanan tetap dirasai memandangkan peminat dahagakan kejuaraan Piala AFF sejak kali terakhir Malaysia menjulangnya pada tahun 2010.

Untuk rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos bagi kempen Piala AFF yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN