Kes bunuh tertangguh, tertuduh tidak faham Bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Kes bunuh tertangguh, tertuduh tidak faham Bahasa Melayu

Seorang warga Myanmar, Sein Win Aung (berbaju hijau) didakwa membunuh rakan senegaranya awal bulan lepas, diiringi oleh anggota polis ketika tiba di Mahkamah Masjistret George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara mereka dalam satu kejadian di kawasan lapang berhampiran Gat Lebuh Macallum di sini, awal bulan lepas.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Myat Thu Khaing dan Sein Win Aung tidak dapat dibacakan ketika prosiding berlangsung kerana kedua-duanya tidak memahami Bahasa Melayu.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli kemudian memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh baharu bagi membolehkan seorang jurubahasa Myanmar dilantik untuk membacakan pertuduhan terhadap mereka selepas ini.

Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula bagi tujuan lantikan jurubahasa Myanmar.

Pada 9 Mac lalu, media melaporkan, seorang lelaki dijumpai meninggal dunia dalam keadaan terbaring di satu kawasan lapang berhampiran Gat Lebuh Macallum, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dilaporkan berkata, ketika dijumpai, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul.

Abdul Rozak berkata, pemeriksaan awal mendapati, mangsa tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai seorang warga asing berusia lingkungan 20-an.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Pulau Pinang (HPP) turut mengesahkan bahawa kematian lelaki itu berpunca daripada kecederaan pada kepala disebabkan hentakan objek keras dan tumpul. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN