Bayern tagih kepakaran Neuer hadapi Real

Bayern tagih kepakaran Neuer hadapi Real

MANUEL Neuer berkasi cemerlang dalam aksi suku akhir pertama berdepan Real Madrid- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH: Ketangkasan Manuel Neuer sekali lagi bakal menjadi sandaran utama Bayern Munich menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Allianz Arena, awal pagi esok.

Penjaga gol veteran berusia 39 tahun itu membuktikan kehebatannya apabila muncul wira kemenangan 2-1 Bayern pada aksi pertama di Madrid minggu lalu, termasuk melakukan sembilan aksi menyelamatkan gawang selain mengekang ancaman Kylian Mbappe dan Vinicius Junior.

Prestasi cemerlang itu bukan sahaja melonjakkan moral pasukan, malah mengukuhkan lagi status Neuer sebagai ‘benteng terakhir’ yang sukar digugat, walaupun usianya semakin menghampiri penghujung karier.

Neuer, yang akan menyambut ulang tahun ke-40 pada Mac depan, masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya meskipun kontraknya bersama Bayern bakal berakhir hujung musim ini.

Namun, pihak pengurusan kelab dilaporkan bersedia menawarkan lanjutan kontrak setahun lagi kepada kapten mereka itu.

Sebagai pemenang Piala Dunia FIFA 2014, Neuer bukan sahaja menyumbang dari aspek teknikal, malah kepimpinannya di atas padang menjadi faktor penting dalam kebangkitan semula Bayern musim ini.

Ketua jurulatih, Vincent Kompany, mengakui aura dimiliki Neuer memberi ketenangan kepada keseluruhan pasukan.

“Dia hanya perlu bersuara dan seluruh pasukan menjadi lebih tersusun. Peranannya sebagai pemimpin sama penting dengan aksi di atas padang,” katanya.

Rekod pertemuan juga menambah tekanan buat Bayern apabila mereka hanya menamatkan kemarau kemenangan ke atas gergasi Sepanyol itu minggu lalu, selepas lapan perlawanan tanpa kemenangan sejak 2012.

Lebih perit, kesilapan Neuer dalam aksi separuh akhir dua tahun lalu membuka ruang kepada kebangkitan Real, yang akhirnya menyingkirkan Bayern sebelum menjulang trofi di Wembley.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN