PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui masih ada ruang penambahbaikan di bahagian serangan meskipun mencatat kemenangan 4-1 ke atas PDRM dalam aksi liga super di Stadium Negeri, kelmarin.
Kemenangan itu sekaligus melonjakkan skuad The Cats di tangga kedua liga dengan memiliki kelebihan satu perlawanan.
Jurulatih kelahiran Singapura itu berkata, kemenangan itu wajar diberikan kredit sepenuhnya kepada pemain yang mempamerkan aksi agresif sejak awal permainan, termasuk berjaya mendapatkan gol seawal minit kedua.
“Syukur Alhamdulillah, pemain bekerja sangat keras. Kita mulakan permainan dengan agresif dan berjaya dapat gol awal, namun selepas itu banyak peluang yang dicipta tidak disempurnakan dengan baik.
“Ini yang perlu kita perbaiki, terutama dari segi penyudah. Kita cipta banyak peluang tetapi tidak cukup klinikal,” katanya selepas perlawanan.
Pada separuh masa kedua, Aidil melakukan beberapa pertukaran taktikal yang nyata membuahkan hasil apabila Kuching City menambah jaringan, sekali gus meranapkan keyakinan lawan.
“Kita buat perubahan dan berjaya tambah gol. Selepas itu, keyakinan pasukan semakin meningkat dan kita kawal permainan dengan baik,” ujarnya.
Mengulas tindakan merehatkan beberapa tonggak utama, Aidil menjelaskan ia adalah langkah strategik bagi mengelakkan risiko kecederaan selain memberi peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan.
“Ia masa terbaik untuk buat rotasi. Kita tidak mahu ambil risiko kecederaan, lebih-lebih lagi dengan jadual padat. Pemain seperti Aiman Joanny dan Jerome Etame ambil peluang dengan baik, malah menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan semua pemain perlu sentiasa bersedia memandangkan saingan semakin sengit, terutama menjelang aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia menentang Selangor.-UTUSAN










