NEWCASTLE: Sepakan penalti lewat permainan Lamine Yamal menyelamatkan Barcelona ketika seri 1-1 dengan Newcastle United dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Newcastle dilihat hampir membawa kelebihan tipis ke aksi timbal balik selepas Harvey Barnes menjaringkan gol pada minit ke-86 menerusi voli hasil hantaran lintang Jacob Murphy.
Namun kegembiraan penyokong tuan rumah di St James’ Park bertukar kecewa apabila Malick Thiaw menjatuhkan Dani Olmo dalam kotak penalti pada minit keempat masa kecederaan.
Yamal,18, tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol Aaron Ramsdale.
Dalam aksi berkenaan, Newcastle hampir membuka jaringan lebih awal pada babak kedua apabila Joelinton menyambar bola muntah hasil rembatan Barnes yang terkena tiang, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Tuan rumah kerap mengancam menerusi kepantasan Barnes, Anthony Elanga dan William Osula, tetapi beberapa peluang terbaik gagal dimanfaatkan.
Barcelona pula jarang menembusi benteng empat pertahanan Newcastle, dengan peluang terbaik hadir apabila Robert Lewandowski hampir menjaringkan gol tetapi percubaannya hasil hantaran Raphinha tersasar.
Bagaimanapun, jaringan penalti Yamal pada minit keenam masa kecederaan memastikan kedudukan masih seimbang menjelang aksi timbal balik di Sepanyol pada 18 Mac nanti.- AGENSI









