Watkins akhiri kemarau jaringan

Watkins akhiri kemarau jaringan

Ollie Watkins-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LILLE: Ollie Watkins muncul wira Aston Villa selepas meledak gol kemenangan ketika menumpaskan Lille 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 Liga Europa, semalam.

Pengurus Aston Villa, Unai Emery mengakui Watkins menunjukkan komitmen cukup tinggi meskipun berdepan tempoh sukar di depan gol sejak beberapa perlawanan lalu.

“Watkins sentiasa bekerja keras dan kekal pamer aksi konsisten dengan peranannya dalam pasukan.

“Memang benar dia berjaya menjaringkan gol, namun kami juga memerlukan lebih ramai pemain menyumbang jaringan,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

Gol pada minit ke-61 itu menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa jaringan buat penyerang England itu, sekali gus memberikan kelebihan penting buat Villa menjelang aksi timbal balik di Villa Park pada 19 Mac ini.

Watkins yang kelihatan tertekan sejak beberapa minggu lalu jelas melepaskan segala bebanan sebaik tandukan lambungnya hasil hantaran Emiliano Buendia gagal diselamatkan penjaga gol Lille, Berke Ozer.

Ia merupakan gol kesembilan Watkins musim ini, namun hanya yang kedua dalam 13 perlawanan terakhir sekaligus satu statistik yang menjelaskan mengapa reaksi lega jelas terpancar pada wajahnya selepas jaringan tersebut.

Kemenangan di Stade Pierre-Mauroy itu turut menghidupkan semula keyakinan Villa yang sebelum ini bergelut dalam aksi domestik selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lebih manis, kejayaan tersebut juga menandakan kemenangan ke-100 Emery sejak mengambil alih kerusi pengurus Villa.

Kemenangan di Perancis itu hadir tepat pada masanya menjelang pertemuan getir menentang Manchester United esok, dalam usaha Villa mengukuhkan kedudukan bagi memburu slot ke Liga Juara‑Juara UEFA musim depan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN