KUALA NERUS: Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah sempena Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Mega Hari Raya Aidilfitri di Dataran Masjid Tok Jembal di sini, hari ini.
Orang ramai mula hadir seawal pukul 7 pagi bagi membeli pelbagai barangan keperluan khususnya ayam dan daging yang dijual pada harga istimewa menerusi program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu itu.
Seorang pengunjung, Anita Deraman, 59, dari Kampung Jambu Bongkok, berkata, dia datang bersama anaknya, Tun Nur Aminatul Alia Qaisara, 14, seawal pukul 7.30 pagi untuk membeli daging, ayam dan barangan keperluan harian.
Katanya, dia sememangnya hadir ke mana-mana lokasi Jualan Rahmah kerana program itu banyak membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga.
“Memang saya akan pergi kalau ada Jualan Rahmah sebab boleh berjimat banyak. Hari ini saya datang beli daging, ayam dan beberapa keperluan harian lain untuk persiapan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu , Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, PJRM Aidilfitri diadakan serentak di lapan Parlimen di seluruh negeri bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Katanya, pelaksanaan program itu melibatkan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.2 juta bagi memastikan barangan keperluan ditawarkan kepada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Kita sasarkan pengunjung sebanyak 20,000 sepanjang hari. Melalui program ini,orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, ayam, telur,gula dan tepung dengan potongan harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah.
“Antaranya di Kuala Nerus , daging tempatan dijual pada harga RM17.99 sekilogram (kg) dan ayam RM5.70 kg,”katanya. – UTUSAN











