Ujian Carolan hadapi kumpulan maut Piala Dunia

Ujian Carolan hadapi kumpulan maut Piala Dunia

SKUAD Speedy Tigers layak ke Piala Dunia 2026. - FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Brendon Carolan bakal menghadapi ujian berat apabila perlu menyusun strategi menghadapi kumpulan maut Piala Dunia Hoki yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Belgium, Perancis dan Jerman yang dilihat sebagai kuasa besar hoki Eropah sekaligus menjadikan misi getir buat Speedy Tigers mempamerkan aksi cemerlang.

Bekas pemain hoki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menegaskan tanggungjawab ini bukan sahaja cabaran kepada Carolan tetapi kepada mana-mana jurulatih yang memimpin pasukan kebangsaan.

Katanya, kelebihan serta pengalaman Carolan bersama pasukan Eropah, terutamanya Jerman dan Belgium boleh memberi sedikit sebanyak tonik kepada skuad negara menjelang Piala Dunia di Belgium.

“Mungkin beliau boleh bantu pasukan kebangsaan menyesuaikan strategi untuk perlawanan pertama menentang dua pasukan kuat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan semua pasukan yang layak ke Piala Dunia berada pada tahap tinggi, sekali gus menuntut persiapan rapi daripada jurulatih dan pemain.

“Kita tidak boleh pilih lawan di sini. Dalam kumpulan Malaysia, Belgium dan Jerman memang pasukan kuat. Kita mesti tunjuk prestasi terbaik dan persiapan 100 peratus untuk setiap perlawanan,” katanya.

Beliau turut menegaskan walaupun laluan pasukan agak sukar, terdapat peluang tipis menentang Perancis, namun fokus utama tetap pada persediaan menyeluruh untuk menghadapi pasukan lebih berpengalaman.

“Yang penting ialah berikan yang terbaik. Fahami kelebihan dan kekuatan lawan, daripada pertahanan hingga ke serangan,” jelasnya.

Piala Dunia dijangka menjadi penanda aras awal kemampuan Carolan membawa skuad kebangsaan mengharungi persaingan sengit di peringkat dunia, selain menyediakan landasan untuk menghadapi Sukan Asia pada masa akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN