LONDON: Pengurus England, Thomas Tuchel meluahkan kekecewaan terhadap tindakan penyokong yang mengejek Ben White ketika kepulangannya ke pentas antarabangsa dalam aksi persahabatan menentang Uruguay di Wembley, semalam.
Dalam perlawanan yang berakhir 1-1 itu, White melalui malam penuh dramatik apabila menjaringkan gol pembukaan England sebelum menjadi punca penalti saat akhir yang membolehkan Uruguay menyamakan kedudukan.
Pertahanan Arsenal itu mencuri tumpuan apabila masuk sebagai pemain gantian dan meledak gol pada minit ke-81 namun kegembiraannya tidak bertahan lama selepas dia mengasari lawan di dalam kotak penalti sehingga menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Federico Valverde.
White turut menerima ejekan daripada penyokong sendiri sebaik namanya diumumkan sekali gus mencerminkan ketidakpuasan hati segelintir peminat terhadap keputusannya sebelum ini yang menjauhkan diri daripada skuad kebangsaan.
Itu merupakan penampilan pertama White bersama England sejak 2022 selepas dia pulang awal dari kem skuad kebangsaan atas alasan peribadi, selain dikaitkan dengan konflik bersama pembantu jurulatih ketika itu, Steve Holland.
Mengulas situasi berkenaan, Tuchel menyifatkan reaksi penyokong sebagai tidak membantu perkembangan pasukan.
“Perkara ini pernah berlaku kepada beberapa pemain di sini sebelum ini, yang mana ia mengecewakan kerana saya tidak fikir ia membantu sesiapa. Reaksinya bercampur-campur.
“Ia terlalu indah untuk menjadi kenyataan apabila dia menjaringkan ‘gol kemenangan’ yang akhirnya bukanlah gol kemenangan.
“Akhirnya mungkin dia terlalu agresif dalam tindakan bertahannya, tetapi itu bukan penalti,” kata Tuchel.
Pertahanan tengah England, Harry Maguire yang membuat penampilan antarabangsa pertamanya dalam tempoh 18 bulan turut mempertahankan White.
“Agak gila, dia menjaringkan gol pertama. Saya rasa dia sangat cemerlang apabila masuk.
“Dia bermain baik sepanjang minggu, sentiasa tersenyum dan membawa tenaga yang hebat kepada pasukan. Dia mendapat ganjarannya malam ini dengan gol itu dan saya fikir dia sangat cemerlang apabila masuk.
“Itu penalti yang mengarut. Ia terlalu lembut. Dia telah menendang bola melepasi palang. Ben hanya cuba menghalang rembatan.
“Itu bukan terjahan yang buruk, bukan berniat jahat. Ia sebahagian daripada tugas bertahan dalam kotak penalti. Sentuhan memang akan berlaku,” katanya. – AFP











