Tidak puas hati boleh merayu, bawa ke CAS

Tidak puas hati boleh merayu, bawa ke CAS

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John menjelaskan FAM akan diberikan tempoh tertentu untuk memfailkan rayuan selepas menerima surat rasmi daripada pihak AFC.

Menurutnya, proses tersebut adalah selaras dengan prosedur standard dalam bola sepak antarabangsa, sama seperti yang pernah dilalui FAM bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.

Jelas Windsor, FAM juga berhak membawa kes itu hingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika tidak berpuas hati dengan keputusan rayuan nanti.

“Mereka (FAM) boleh merayu. Dalam surat kepada FAM nanti akan diberi tempoh untuk merayu dan lepas merayu, jika mereka tidak berpuas hati lagi, mereka boleh pergi ke CAS. Prosesnya sama dalam bola sepak,” katanya.

Kelmarin, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC membatalkan keputusan dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 melibatkan Malaysia menentang Nepal dan Vietnam selepas FAM didapati melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak.

Keputusan tersebut dibuat susulan daripada tindakan CAS pada 5 Mac lalu yang menolak rayuan FAM bersama tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel berhubung kes pemalsuan dokumen.

Berdasarkan keputusan asal, Malaysia menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac 2025 dan mengatasi Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.

Namun, susulan pelanggaran tersebut, kedua-dua keputusan itu dibatalkan dan Malaysia diisytiharkan kalah 0-3 bagi setiap perlawanan mengikut Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

Implikasi besar daripada keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya kehilangan enam mata, sekali gus jatuh ke tangga kedua Kumpulan F, Vietnam pula diangkat sebagai juara kumpulan selepas mengumpul 15 mata dan meraih tiket ke pusingan akhir di Arab Saudi.

Dalam masa sama, FAM memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi bagi mendapatkan alasan penuh keputusan itu sebelum menentukan langkah seterusnya, termasuk kemungkinan meneruskan rayuan ke peringkat lebih tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN