Status Azizulhasni ke ACC 2026 jadi tanda tanya

Status Azizulhasni ke ACC 2026 jadi tanda tanya

Azizulhasni Awang akan menjadi pelumba tunggal negara yang akan membawa cabaran dalam acara keirin di Piala Dunia Trek, Perth, Australia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status penyertaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ke Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) pada 25 hingga 31 Mac ini di Filipina masih menjadi tanda tanya meskipun tampil cemerlang pada siri pertama Piala Dunia Trek di Australia, baru-baru ini.

Pelumba berusia 38 tahun itu membuktikan kayuhannya masih berbisa apabila menghadiahkan pingat emas acara keirin serta gangsa pecut individu, sekali gus memberi isyarat bahawa dirinya masih mampu bersaing dengan pelumba terbaik dunia.

Bagaimanapun, pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley mendedahkan penyertaan Azizulhasni ke ACC masih belum dimuktamadkan.

“Kami masih mempertimbangkan sama ada Azizulhasni akan berlumba di ACC atau tidak kerana perancangan utama pasukan adalah memastikan dia berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Jadi ada beberapa faktor yang perlu dinilai terlebih dahulu sebelum kami membuat keputusan akhir dan buat masa ini saya belum dapat memberikan jawapan yang pasti,” kata Beasley kepada Utusan Malaysia.

Ketidakpastian itu sekali gus mencetus persoalan memandangkan ACC turut menawarkan mata penting bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Berbasikal Trek yang dijadualkan berlangsung di China Oktober ini.

Situasi tersebut menjadi lebih menarik apabila Azizulhasni sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali beraksi di pentas Kejohanan Dunia selain memberi tumpuan kepada Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Buat masa ini kita nikmati dulu apa yang Azizulhasni lakukan kerana dia baru kembali berlatih sekitar enam bulan tetapi sudah menunjukkan prestasi hebat dan kami akan lihat bagaimana perancangan seterusnya sebelum membuat keputusan mengenai perlumbaannya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN