Speedy Tigers enggan tercicir mata awal

Speedy Tigers enggan tercicir mata awal

MALAYSIA akan berdepan Austria dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kelayakan Piala Dunia, malam ini.-IHSN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan hoki lelaki negara turun dengan misi wajib menang dalam aksi pembukaan Kumpulan B kelayakan Piala Dunia menentang Austria di Ismailia, Mesir, malam ini.

Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh menyifatkan aksi pertama itu sebagai kunci penting dalam membina momentum sebelum berdepan Pakistan dan China dalam jadual padat Kumpulan B.

“Kita perlu menang, kita kena dapat tiga mata ke atas Austria, itu permulaan yang sempurna dan kita mesti ambil tiga mata daripada Austria.

“Kita perlu bermain dengan baik dan jangan lepaskan mata berharga, kemenangan akan membina momentum yang baik dalam aksi seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas dua keputusan seri 2-2 dalam aksi pemanas badan menentang tuan rumah dan Jepun, Sarjit menjelaskan keputusan tersebut bukan gambaran sebenar Speedy Tigers.

Katanya, dalam aksi persahabatan tersebut, semua pemain negara diberikan peluang beraksi dan persembahan tidak 100 peratus bagi mengelak risiko kecederaan.

“Kita ada banyak pukulan sudut pendek tetapi kita tidak ambil peluang itu, sebaliknya memilih pukulan sudut panjang kerana tidak mahu berlaku kecederaan.

“Kalau ambil risiko, flick runner kita boleh jadi masalah pula,” jelasnya.

Dalam masa sama, Sarjit mengesahkan Ashran Hamsani terpaksa diketepikan daripada senarai akhir 18 pemain akibat kecederaan hamstring dan masih bersama pasukan di Mesir untuk menjalani rawatan.

“Ashran mengalami kecederaan hamstring dan tidak berada dalam senarai akhir, jadi buat masa ini dia masih menjalani rawatan bersama pasukan di sini,” katanya.

Selepas berdepan Austria, anak buah Sarjit akan turut berdepan Pakistan esok sebelum menutup kempen Kumpulan B berdepan China pada 4 Mac.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN