KUALA LUMPUR: Perebutan slot terakhir beregu lelaki ke saingan Piala Thomas 2026 kini menjadi tumpuan utama dalam kem badminton negara apabila beberapa pasangan dilihat sedang bersaing sengit untuk melengkapkan senarai skuad Malaysia.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengesahkan dua gandingan utama negara sudah pun hampir pasti menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan yang akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Pasangan No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta beregu No.6 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sudah berada dalam perancangan awal sebagai tonggak utama skuad kebangsaan.
Namun tumpuan sebenar kini terarah kepada perebutan satu lagi slot beregu yang dijangka menjadi penentu kekuatan Malaysia dalam kempen memburu kejuaraan tersebut.
“Yang sudah pasti pergi Piala Thomas ini ialah Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun.
“Mungkin slot ketiga milik Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani atau boleh jadi Arif Junaidi-Yap Roy King,” kata Herry ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Menurut Herry, keputusan muktamad mengenai pasangan yang bakal melengkapkan skuad hanya akan ditentukan selepas mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky.
“Apapun kita belum mesyuarat lagi untuk keputusan akhir pemain yang akan kita bawa ke Piala Thomas. Kita akan lihat prestasi semasa sebelum buat keputusan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa faktor kecergasan, kestabilan mental serta prestasi semasa dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia sebelum tarikh pendaftaran pemain akan menjadi kayu ukur utama pemilihan.
Situasi itu menjadikan persaingan antara dua pasangan tersebut semakin panas apabila masing-masing mahu membuktikan mereka lebih layak menjadi sandaran ketiga Malaysia.-UTUSAN










