Shahmalarani enggan terbeban di Leshan

Shahmalarani enggan terbeban di Leshan

AKSI C. Shahmalarani dalam acara wanita kumite 50 kg di Sukan SEA Thailand 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu karate negara, C. Shahmalarani mengakui dirinya berdepan tekanan menjelang kejohanan Karate 1 Premier League di Leshan, China, pada April ini.

Selaku prospek pingat negara di kejohanan berkenaan, Shahmalarani perlu bijak menguruskan tekanan bagi memastikan misi memburu kejayaan berada dalam genggaman.

Masih segar dengan kejayaan meraih emas di Sukan SEA 2025, Shahmalarani mahu memberi fokus sepenuhnya bagi memastikan misi memburu kedudukan kelompok lapan terbaik dunia.

Katanya, sasaran tersebut realistik memandangkan kejohanan berstatus Liga Perdana Dunia itu menghimpunkan barisan atlet terbaik global, sekali gus menjadi medan penting menilai tahap sebenar prestasinya menjelang Sukan Asia.

“Sekurang-kurangnya saya perlu berada dalam kelompok lapan terbaik. Kalau capai sasaran itu, maknanya saya masih berada di landasan yang betul. Kalau tidak, saya perlu kaji semula apa yang kurang sebelum Sukan Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Atlet kategori bawah 50 kilogram (kg) itu dijadual turun beraksi pada 10 hingga 12 April ini, yang juga merupakan satu-satunya kejohanan Liga Perdana Dunia disertainya tahun ini.

Shahmalarani mengakui tekanan tetap wujud, lebih-lebih lagi statusnya sebagai antara prospek pingat negara, namun beliau enggan membiarkan faktor tersebut mengganggu fokus.

“Tekanan memang ada, saya tak boleh nafikan. Ramai lihat saya sebagai pencabar pingat, tapi saya tak mahu letakkan tekanan itu pada diri sendiri. Saya hanya mahu buat apa yang saya lakukan sebelum ini dan fokus kepada diri sendiri,” ujarnya.

Kejohanan di Leshan dijangka menjadi penanda aras penting buat Shahmalarani sebelum menggalas cabaran negara di Sukan Asia di Aichi Nagoya pada September depan, sekali gus mengukur kesiapsiagaannya berdepan kelompok elit dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN