PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki biarpun anak buahnya berjaya menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC 3-2 dalam aksi Liga Super, kelmarin.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu berkata, barisan pertahanan Gergasi Merah perlu lebih ‘kebal’ selepas pasukannya dibolosi dua gol pada penghujung permainan di di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Dalam aksi derbi Lembah Klang yang penuh dramatik itu, Gergasi Merah terlebih dahulu selesa mendahului hasil jaringan Faisal Halim, Mamadou Diarra dan Hugo Boumous yang meletakkan Selangor di hadapan dengan tiga gol.
Namun begitu, tuan rumah hampir mencetuskan kebangkitan dramatik apabila Edgar Gomis dan Safawi Rasid menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan untuk merapatkan kedudukan.
Pan Gon berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang berjaya mengawal permainan dan mencipta peluang sehingga mampu menghasilkan tiga jaringan.
Jelasnya, Selangor sebenarnya berpeluang menamatkan perlawanan dengan rekod tanpa bolos sekiranya lebih berdisiplin di benteng pertahanan dan perkara itu perlu diberi perhatian serius agar situasi sama tidak berulang pada perlawanan akan datang.
“Secara keseluruhan, ini adalah satu perlawanan yang sangat baik. Kami bermula dengan cemerlang apabila menjaringkan gol awal. Pada separuh masa kedua, kedudukan menjadi 2-0, kemudian 3-0.
“Ini adalah prestasi yang amat baik. Kami berjaya mengawal permainan dan kami menang, namun kami melepaskan dua gol dan perkara itu membuatkan saya tidak berpuas hati.
“Saya rasa kami perlu memastikan gawang tidak dibolosi. Kami perlu memperbaiki di bahagian ini,” kata jurulatih berusia 55 tahun itu selepas tamat perlawanan.
Kemenangan di Cheras itu menyaksikan Selangor kini menghuni tangga kedua liga dengan 42 mata, dua mata di hadapan Kuching City FC yang masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.-UTUSAN










