PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend optimis keputusan kes membabitkan tujuh pemain warisan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan memihak kepada skuad kebangsaan.
Menurutnya, berdasarkan hujah yang dikemukakan serta kedudukan semasa kes berkenaan, beliau melihat perkembangan yang memberangsangkan dan percaya peluang Malaysia masih cerah.
“Berdasarkan hujah dan kedudukan kami ketika ini, saya nampak ada sinar. Kita hanya perlu menunggu kerana tidak tahu bila keputusan akan dikeluarkan,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Terdahulu, rayuan tujuh pemain Harimau Malaya itu telah didengar di CAS pada Khamis lalu, namun keputusan dijangka mengambil sedikit masa apabila panel memerlukan tempoh tambahan untuk meneliti semua hujah serta bukti yang dikemukakan.
Menurut maklum balas daripada pihak tribunal berkenaan, penelitian menyeluruh perlu dilakukan sebelum keputusan muktamad dapat dicapai, memandangkan kes ini melibatkan isu teknikal dan berprofil tinggi.
Sehubungan itu, CAS memaklumkan satu kenyataan media rasmi akan dikeluarkan sebaik sahaja keputusan diumumkan kelak dan alasan penuh yang memperincikan asas pertimbangan panel akan disediakan serta diserahkan kepada pihak-pihak terlibat.
Kes pemalsuan dokumen ini menggemparkan arena bola sepak negara apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Malaysia susulan isu berkaitan peraturan kelayakan pemain.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.-UTUSAN










