MILAN: MotoGP mengesahkan Grand Prix (GP) Qatar tidak akan dibatalkan walaupun konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah, sebaliknya perlumbaan tersebut ditangguhkan ke hujung tahun ini.
Perlumbaan yang sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Lusail pada 10 hingga 12 April itu terpaksa ditangguhkan susulan ketegangan serantau selepas serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Sebagai langkah keselamatan, pihak penganjur memutuskan GP Qatar akan dijadualkan semula pada hujung minggu 8 November.
Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselamatan semua pihak yang terlibat dalam kejuaraan tersebut.
“Keputusan ini dibuat dengan penuh teliti serta melalui kerjasama rapat bersama rakan kongsi kami di Qatar dan semua pihak dalam paddock.
“Keutamaan kami sentiasa keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat dalam MotoGP, selain memastikan setiap perlumbaan dianjurkan mengikut standard tertinggi,” katanya.
Penangguhan itu menyaksikan kalendar MotoGP musim ini mengalami rombakan besar apabila musim perlumbaan akan berakhir lebih lewat daripada perancangan asal.
Menurut Ezpeleta, GP Qatar kini akan menjadi sebahagian daripada siri tiga perlumbaan berturut-turut bersama GP Australia dan GP Malaysia.
“Pada masa sama, kami juga sedar pentingnya memberikan kepastian kepada para peminat secepat mungkin dan pemegang tiket akan diberi pilihan untuk memindahkan tiket mereka ke acara seterusnya,” katanya.
Sementara itu, perubahan jadual turut menyaksikan GP Portugal dipindahkan ke hujung minggu 22 November manakala perlumbaan penutup musim di Valencia dijadualkan pada 29 November.
Perubahan tersebut juga dijangka menyaksikan ujian selepas perlumbaan di Valencia, yang bakal menampilkan jentera baharu 850cc buat pertama kali kepada umum berlangsung pada 1 Disember.
Ezpeleta dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur di Portimao dan Valencia yang memberikan kerjasama serta fleksibiliti dalam memastikan peralihan kalendar dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Kami yakin jadual baharu ini mampu mengekalkan kualiti kejuaraan sambil memberikan musim perlumbaan yang menarik kepada peminat,” katanya. – AGENSI










