Misi lebur badi 12 tahun di bumi Vietnam

Misi lebur badi 12 tahun di bumi Vietnam

PEMAIN Harimau Malaya mendengar perancangan taktikal barisan kejurulatihan yang diketuai Peter Cklamovski menjelang aksi menentang Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini.- IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekecewaan terlepas slot ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi tidak mematahkan semangat skuad Harimau Malaya untuk sekali lagi menjinakkan Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini.

Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan pasukan kini bangkit dengan misi lebih besar iaitu menamatkan kemarau kemenangan di gelanggang Vietnam yang berlarutan lebih 12 tahun.

Menurut Cklamovski, walaupun keputusan sebelum ini mengecewakan, pasukan memilih untuk tidak terus dibayangi perkara di luar kawalannya.

Jelasnya, detik sukar yang dilalui ketika ini sebenarnya menjadi medan terbaik untuk menguji kekuatan mental serta karakter pemain.

“Sejujurnya kami sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Namun ada perkara di luar kawalan yang menjejaskan peluang kami. Jadi, kami fokus kepada apa yang boleh dikawal cara kami berlatih dan bagaimana kami menguruskan pasukan.

“Waktu sebegini adalah ujian sebenar buat kami. Saya bangga dengan komitmen semua pemain dan staf. Fokus kami jelas turun ke padang, berikan segalanya dan bawa pulang kemenangan.

“Walaupun pelbagai isu melanda sejak beberapa bulan lalu, kami jadikannya sebagai pembakar semangat. Tiada apa yang boleh mematahkan kami,” katanya dalam sidang media pra perlawanan, semalam.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menundukkan Vietnam pada 2014 pada separuh akhir kedua Piala AFF dengan keputusan 2-4 di Stadium My Dinh, Hanoi, ketika dibawah kendalian Datuk Dollah Salleh.

Cklamovski akui cabaran menentang Vietnam di hadapan penyokong mereka bukan sesuatu yang mudah, namun optimis skuad negara mampu mencipta kejutan.

“Sudah lebih 12 tahun kita tidak menang di sana. Itu satu cabaran besar, tetapi inilah misi kami. Kami mahu pamerkan bola sepak terbaik dan mengejar keputusan positif melalui cara permainan kami,” jelasnya.

Mengulas kekuatan lawan, beliau menyifatkan Vietnam sebagai pasukan yang cukup berkualiti, namun menegaskan persiapan rapi telah dilakukan bagi mengekang ancaman tersebut.

“Kami menghormati Vietnam, tetapi kami juga sudah menganalisis mereka dengan teliti. Kami tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN